Sunday, March 29, 2015

Tafsiran Manusia tentang apa yang kita tulis.


Pepatah ada mengatakan " rambut sama hitam hati lain-lain" Begitu juga tafsiran manusia tentang apa yang kita tulis. Adakalanya kita bermaksud sangat positif tetapi pentafsiran orang menjadi negatif. Walau apa pun yang terjadi kita tidak boleh menahan manusia dari memberi hujah dan pendapat mereka tentang sesuatu isu.Adakalanya kita memang sentiasa bersangka baik dan cuba untuk berkongsi pengalaman untuk membantu mereka yang mempunyai nasib yang sama atau sekurang2nya orang tau yang mereka tidak keseorangan bila berhadapan dengan masalah.  

Hendak menjaga hati semua orang bukan mudah dan adakalanya hati dan perasaan kita yang terkorban. dalam kehidupan kta nak jaga ramai hati dan perasaan orang lain. Umpamanya keluarga kita, rakan2 baru dan lama serta bos2 dan mereka yang kita hormati. Kita tak bermaksud untuk menimbulkan konflik namun bila manusia dah ada pelbagai tafsiran dan pemahaman tntang apa yang kita tulis maka jadilah pelbagai persepsi yang boleh mengundang rasa kurang senang dan sebagainya.

Sebagai penulis saya sangat suka menulis dan cuba untuk menulis perkara baik. Ini kerana saya mahu berkongsi cerita hidup saya, kegembiraan saya bersama pelajar dan kehidupan yang sanat indah ini. Namun jika ada yang tak suka saya terpaks aakur kerana ingin menjaga hati. walau berat walau pedih saya cuba jaga hati mereka. Ada yang kata " jangan peduli apa orang nak kata, kerana kita bebas menulis apa yang kita rasa betul." tapi bagi saya kita perlu banyak berfikir sebelum menulis kerana penulisan kita akan menjadi suatu yang kekal untuk orang lain simpan. Umpamanya jika kita mencaci dan memaki orang dalam penulisan kita, ia akan kekal tersimpan dan orang akan ingat sampai bila2.

Justru, tulis lah yang baik dan sentiasa menghormati perasaan orang lain. walau adakalanya kita rasa kita dah tulis yang terbaik dan sangat menjaga hati orang tapi masih ada yang tidak puas hati, kita minta maaf saja kerana, tidak jatuh maruah kita sebagai manusia jika kita minta maaf. Justru jaga lah mata pena sebagaimana kita menjaga kata2 kita dari mengecilkan hati orang lain. Semoga kita sentiasa menjadi penulsi yang baik dan berkongsi ilmu dengan sesiapa saja dengan cara yang baik. 

Tamat.

Friday, March 20, 2015

Kunjungan Bekas Pelajar dan Impian Mama Menulis Sebuah Buku


Salam pagi Sabtu. Petang semalam...seorang bekas pelajar saya Azlan Ismail datang mengunjungi saya. Terharu rasanya sebab masih ramai ingatkan saya walau mereka dah berkeluarga dan berjaya dalam kerjaya masing2. Beliau dulu bekas pelajar kewartawanan saya dan katanya dah lama beliau berhasrat mengunjungi saya, baru semalam terlaksana hasrat itu. Lama kami berbual dan antara yang bualkan ialah mengenai penulisan saya dan blog saya.
Sebenarnya blog saya dah tak aktif sejak dua tahun lalu, tapi beberapa minggu lalu beliau ada menghubungi saya untuk membantu mengaktifkan kembali blog berkenaan. Sekarang blog itu sedang dalam proses rebranding dan beliau mahu saya terus menulis kerana pada pendapat beliau penulisan saya banyak memberi motivasi dan saya juga ramai follower terutamanya dalam kalangan students dan bekas students saya. Secara peribadi beliau sendiri mengikuti penulisan dan motivasi pagi saya di FB dan beliau pasti apa yang dirasai olehnya turut dikongsi dengan ramai bekas pelajar dan pelajar yang sentiasa mengikuti FB saya sebagai icon masscom.


Beliau juga berkata " Mama menulis dengan hati dan perasaan yang sangat halus dan bila penulisan itu terkesan dihati pembaca ia boleh menjadi viral. Ini sesuatu yang baik dari sudut motivasi" Sebenarnya menulis adalah sebahagian dari hidup saya. Menulis dapat memberi kepuasan dan memberi ketenangan dalam hidup saya serta terapi untuk membuat saya bahagia. Satu lagi perkara yang membuatkan saya rasa sangat gembira ialah beliau bercadang menerbitkan buku pertama saya. Sebenarnya sebelum ini ada beberapa cubaan oleh bekas pelajar saya untuk menerbitkan buku dan ebook saya tetapi perkara tu akhirnya tak menjadi kenyataan.
Saya tak serius sangat tentang buku ni sebab sebelum ini saya ada menghantar skrip dan kompilasi artikel saya untuk diterbitkan tapi mungkin ianya tidak berkualiti dan dikembalikan semula pada saya. Ada juga yang hilang begitu saja apabila saya sudah menghantar skrip. Bagi saya walaupun memang teringin untuk memiliki sebuah buku atas nama saya tapi ia bukan keutamaan hidup saya. Apa yang penting ialah kerjaya saya sebagai pendidik dan bagaimana saya kongsi ilmu dengan pelajar dan bagaimana saya menjadi sebahagian dari hidup dan kenangan mereka ketika mereka belajar di Universiti.
Disebabkan diri saya yang agak rapat dengan pelajar masscom dan sangat dikenali dalam kalangan pelajar, bekas pelajar saya itu, mencadangkan saya menulis buku mengenai pengalaman dan cara-cara untuk menjadi pensyarah yang disayangi pelajar atau hubungan pelajar dan pensyarah dalam proses pembelajaran di Universiti. Insya Allah saya cuba, jika Allah izinkan pasti akan ada sebuah buku hasil penulisan saya untuk menjadi kenangan buat mereka yang mengenali saya, juga sebagai satu khazanah yang bakal saya tinggalkan jika saya dipanggil pencipta. Salam keceriaan untuk semua dan jangan lupa sentiasa berfikiran positif untuk meneruskan kesinambungan hidup kita dengan lebih bai
  • Hariyati Ariffin Azlan Ismail terima kasih atas kunjungan semalam. Semoga Allah memudahkan perjalanan hidup Azlan dan merealisasikan impian Azlan untuk menerbitkan buku pertama mama...terima kasih sekali lagi.

Friday, May 31, 2013

Nasihat Kepada Anak-anak mengenai Sabar dan Kejayaan Hidup

Waktu santai dan hari-hari cuti saya selalu bercerita dengan anak-anak mengenai pengalaman hidup dan kisah masa silam saya yang boleh dijadikan penduan oleh mereka. Selalu saya bagitau mereka untuk menjadi orang yang berjaya bukannya mudah. Pelbagai ujian dan dugaan mesti kita tempuhi dengan sabar dan yakin Apa yang kita lalui itu umpama saham yang akan memberi ganjaran yang baik pada masa depan. Bila anak2 cerita mengenai orang2 yang sangat negatif pernah mereka jumpa, orang2 yang suka menghina dan menjatuhkan maruah orang lain, saya katakan pada anak2 agar terus bersabar dan doa pada Allah kita diberi kekuatan berhadapan dengan orang2 macam tu. Allah nak duga kita dengan manusia seperti itu.



Anak-anak selalu bercerita mengenai kisah ditempat kerja yang membuatkan mereka rasa berat untuk pergi ketempat kerja mahupun ke kuliah. Tekanan yang mereka alami kadangkala dapat saya rasakan. Sebagai Ibu saya hanya mampu menasihkan mereka agar lebih tabah dan tingkatkan kesabaran untuk berhadapan dengan orang-orang seumpama itu. Bagi saya dimana-mana kita akan jumpa sepsis manusia seperti ini. Mereka juga punya keturunan dan turun temurunnya. Sikap mereka mungkin diwarisi dari ahli keluarga atau tekanan hidup yang sedang mereka alami. Saya nasihatkan anak-anak menganggap orang sebegini sebagai sakit, jangan terlalu dilayan perangai mereka. 



Jika kita boleh jauhkan diri, cuba jauhkan diri, jika tidak berhubung secara professional sahaja. Teringat masa saya muda2 dulu ada segelintir orang suka mengambil kesempatan terhadap kelembutan hati saya dan memperbodohkan saya didepan orang ramai. Adakalanya saya menangis sendirian memikirkan mereka sanggup memperkecilkan saya dan adakalnya saya rasa sangat malu dihadapan orang ramai. Mereka adalah orang-orang yang sangat tega hatinya. Suka melihat orang lain dalam kesukaran dan sangat berpuas hati jika dapat menjatuhkan maruah orang lain. Meskipun sangat malu terhadap apa yang saya pernah lalui namun tak terlintas untuk saya membalas dendam atau memberi pengajaran kepada insan berkenaan. 

Tapi Allah tu Maha kaya, orang yang menghina saya tu pernah datang meminta bantuan saya...dan saya bantu dia seadanya tanpa ada rasa sekelumit pun dendam mahupun sakit hati. Ye lah jika nak fakir apa yang dia pernah buat apda kita mungkin kita boleh membalas waktu itu. Namun seperti kata pepatah ikut hati mati ikut nafsu lesu…Bagi saya dia mungkin sudah dapat balasan dari Allah...karma Allah biasanya dibayar secara tunai…kesihanilah dia...mungkin dia sudah insaf. Siapalah kita untuk menghukum dia. Manusia ini semuanya sama disisi Allah....yang membezakan kita bukan pangkat atau kedudukan dan harta yang melimpah ruah, tetapi ketaqwaan kita pada Allah, kesabaran kita dalam menempuh segala ujianNYA , tahap kesyukuran kita atas apa yang dikurniakan Allah dan paling penting kita kenal siapa diri kita yang sebenarnya. Pengajaran yang boleh saya kongsi melalui pengalaman ini ialah, setiap manusia mempunyai karektor mereka tersendiri. 

Adakalanya manusia suka mengambil kesempatan atas kelemahan orang lain, seperti kata pepatah, yang lemah makanan yang kuat. Bagaimanapun bila difikirkan semula, menjadi sabar dan tabah ini besar hikmahnya. Adakalanya kita tidak perlu membalas perbuatan orang itu tetapi beliau mendapat pembalasan. daripada orang lain. Dunia satu putaran dan tiada yang lebih berkuasa dari Allah walaupun adakalanya hati kita disakiti kerana mereka memperlekehkan kita seolah-olah kita ni terlalu kecil dna tidak bermaruah. Kita sebenarnya diuji oleh Allah untuk melihat sejauhmana kita bersabar dan tabah dengan dugaan Allah. Apabila kita dapat melepasi rintangan dan ujian Allah kita akan dapat merasakan satu nikmat yang tidak terkira besarnya. Oleh itu, teruskan memuhasabah diri supaya kita tidak terus leka dan terlupa tanggungjawab kita yang sebenarnya sebelum kita kembali pada pencipta kita. Belajar bersabar kerana sabar itu separuh dari iman. 



Tamat

Dairi Mama bersama Arwah Mak

Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan. Begitulah rentetan kehidupan aku bersama Mak yang akan terus hidup dalam memori ku sehingga aku sendiri menghembuskan nafas yang terakhir. Tahun ini 2013 sudah hampir dua tahun Mak pergi meninggalkan aku. Mengimbau kisah lalu, sebagai anak sulung perempuan dalam 10 orang adik beradik, aku adalah orang kanan Mak yang sentiasa bersama mak sejak kecil sehingga dia menghembuskan nafasnya dalam pelukan aku pada tahun 2011 yang lalu.

 Keserasian kami tidak dapat aku nafikan. kami berkongsi banyak perkara dalam hidup. Aku lalui suka duka kehidupan bersama Mak. Namun dalam mengharungi kehidupan... aku dan mak tidak pernah sunyi dari berselisih faham dan merajuk. Namun aku dan mak tetap bersama dan kami amat saling memerlukan.Mak juga membesarkan anak2 ku dengan penuh kasih sayang sewaktu aku mengejar karier ku. Mak juga insan yang sering menasihati ku tentang kehidupan rumahtangga dan merestui kehidupan ku sepanjang dia hidup Mak bukan sahaja berada disisi ku, saat aku memerlukan dia, namun turut sama-sama berduka atas kekecewaana aku dan bergembira atas kejayaan aku. Disaat akhir Mak dia pernah memberitahu adik-adik bahawa aku adalah semangatnya untuk terus bertahan disaat akhir. Dalam keuzuran mak dia amat memerlukan aku disisinya dan dia dapat merasakan semangat untuk meneruskan kehidupan ini amat kuat jika aku berada disamping dia.

 Enam bulan sebelum dia menghembuskan nafas terakhir, keadaan Mak makin uzur, dua kali keluar masuk hospital. kali terakhir awal Julai 2011. Sekembalinya dari hospital tiga minggu selepas itu, mak nampak ceria dan sentiasa bercerita mengenai pelbagai perkara. Namun keadaan fizikal dia memang lemah. Dia dah tak dapat bangun lagi, makan bersuap, buang air dalam pampers, mandi, makan semua dilakukan atas katil. Namun aku masih boleh lihat semangatnya yang kental. Matanya sentiasa sayu melihat aku. Renungan Mak menusuk kalbu setiap kali dia memandang wajahku. Dua hari sebelum dia pergi, adalah saat paling meruntun perasaan ku. Dia asyik menangis dan memanggil nama ku dari pagi sampai malam. Masih tergiang-giang panggilannya, Ati...Ati...Ati...mana kau...mak nak kau ada kat sini....peluk lah Mak... Ati...peluk lah Mak...ah...menitis air mata ini bila terkenang semuanya. Tanpa memikirkan yang dia akan pergi meninggalkan aku buat selama-lamanya, aku memberitahu mak bahawa aku tidak dapat duduk disisi dia 24 jam kerana aku terpaksa memasak dan melihat keperluan yang lain.

Disaat aku meninggalkan dia untuk membuat kerja lain, dia akn terus menangis bagaikan anak2 kecil. Aku terpaksa .....bila mengenangkan itu semua aku jadi kesal....teramat kesal kerana aku tidak menurut kata mak. Mengapalah aku tidak terus duduk disisi dia....mengapalah aku begitu dan begini. Kekesalan demi kekesalan menerjah benak fikiran ku...Allah sahaja tahu perasaan aku di ketika itu.. Di saat arwah Mak nak pergi menyahut panggilan Ilahi, malam tu aku sempat tidur memeluk Mak. Dia tenang sahaja dan aku genggam tangan mak erat2 sambil aku usap rambut mak dan membaca Asma Ul Husna untuk Mak.Tiba2 dia batuk dan meminta air...aku bingkas bangun dan mengambil air. Aku peluk mak dan Ketika nak memberi air kemulutnya aku lihat mak seolah2 sesak nafas dan dalam tiga tarikan nafas sahaja Mak sudah tiada lagi dan dia pergi dalam pelukan aku.

Melihat keadaan itu, aku bacakan Al Fatihah dan aku letak kepala Mak eluk2 di bantal. Dengan tenang aku telefon adik beradik yang lain untuk datang. Mak pergi dengan tenang di pagi 11 ramadhan bersamaan 11 Ogos 2011. Aku redha pemergiaan Mak dibulan yang mulia ini. Aku doakan Mak sentiasa tenang dan ditempatkan bersama mereka yang beriman. Bukan lah mudah untuk melalui semua ini. Sekarang baru aku tahu perasaan mereka yang kehilangan orang tersayang. Meskipun aku pernah merasakan kehilangan arwah adik bongsu dan arwah Bapak ku lebih 20 tahun lalu, namun pemergian Mak amat terkesan dalam hidup ku. Mak lah inspirasi ku dan semangat ku. Terlalu banyak kenangan bersama Mak. Semoga aku akan terus tabah tanpa Mak disisi ku. Amin dan Al Fatihah untuk Mak yang tercinta.....

Tamat

Mengimbau Zaman Silam Dari Atas Kerusi Roda

Dipagi yang hening dan tenang ini, saya terkenang zaman muda, ketika Allah mengurniakan tenaga yang kuat untuk berlari kesana kesini mencari rezeki dan menjaga keluarga. Pagi ini, saya merenung dan menghitung nikmat yang tidak terkira Allah pernah kurniakan pada saya ketika muda dan saat ini, DIA menduga saya dengan sedikit rasa sakit, dibahagian kaki sehingga memaksa saya duduk diatas kerusi roda buat sementara waktu. Sakit sebenarnya juga satu nikmat dari Allah.

Dengan sakit kita dapat merehatkan diri dan melihat bagaimana keprihatinan orang2 sekeliling kita melayan dan membantu kita dalam keadaan kurang upaya. Sambil duduk diatas kerusi roda ini, saya terbayang saat Allah meminjamkan kekuatan dan tenagaNYA untuk saya menjalani kehidupan dengan amat sempurna dan mudah sekali. Dulu ramai yang kata saya ibarat superwoman kerana boleh bekerja, pada masa yang sama mengendalikan rumahtangga, anak2, dan masih boleh menyambung pelajaran diperingkat masters. Apa pun jika difikirkan semula, kekuatan dan semangat itu bukan datangnya dari diri saya semata2 tetapi ianya kuasa Allah yang telah membantu saya melaksanakan segalanya dengan baik dan mempermudahkan segalanya buat saya.

Saya sudah biasa menguruskan rumahtangga, bekerja dan menjaga anak2 seorang diri, disebabkan suami sentiasa sibuk dipejabat ketika beliau muda dulu. Saya menguruskan makan minum anak2 memantau persekolahan dan pelajaran serta kebajikan dan emosi mereka. Setiap hari suami akan kepejabat seawal jam 6.30 pagi untuk mencari rezeki untuk keluarga, dan pulang biasanya jam 9 atau 10 malam . Hari sabtu dan Ahad juga adakalanya suami tiada masa untuk kami sekeluarga kerana dia sering pulang kekampung keluarganya melihat ibubapa dan adik beradiknya. Suami saya anak sulung daripada keluarga yang susah. Dia juga seorang anak yang amat taat kepada ibubapa dan keluarganya dikampung. Dia pastikan kebajikan keluarganya dikampung terjaga dengan baik.

Disamping itu, adakalanya suami akan pergi vacation bersama rakan2nya kerana ketika anak kecil2 agak susah nak bawa mereka. Oleh itu saya berkorban menjaga anak2 dirumah dan jarang berjalan2 kerana kami juga ada masalah kewangan. Disebabkan itu, anak2 menjadi rapat dengan saya dan mereka agak kurang mesra dengan bapa mereka. Antara ramai anak2 saya, Kak Long paling dingin dan tak rapat dengan bapanya. Mungkin kerana bapanya jarang ada masa bersama beliau masa kecil dulu. Dia tak pernah bercakap dengan bapanya kecuali ada hal2 penting. Seingat saya dari kecil sampai dia dewasa dia jarang mahu duduk bersama bapanya untuk bersembang mahupun bercerita. Dia lebih suka duduk dalam bilik jika bapanya ada dirumah. Waktu makan juga dia jarang mahu bersama bapanya dimeja makan.

 Jika bapanya sudah habis makan baru dia duduk makan dimeja. Dalam empat anak2 saya, kak long dan anak kedua paling tidak rapat dengan bapa mereka sehingga hari ini. Anak ketiga dan keempat sememangnya agak manja dengan bapa mereka. Sehingga hari ini saya tidak pernah putus asa merapatkan silaturahim antara anak2 dan bapa mereka. Saya menjadi jambatan merapatkan mereka. Saya cuba pelbagai usaha merapatkan anak2 dan bapanya. Walaupun kak Long tak rapat dengan ayahnya , tapi kak long cukup mesra dengan saya dan sewaktu bersekolah dulu dia adalah orang kanan yang membantu saya dalam banyak hal menguruskan rumahtangga dan kebajikan adik2nya. Pada usia 18 tahun kak Long dah boleh bawa kereta, dia sudah boleh menghantar dan mengambil adik2nya dari sekolah. Beliau juga menjadi tempat saya meluahkan perasaan dan rasa sedih jika sesuatu berlaku.

Kak Long sangat prihatin dan memang banyak membantu saya waktu itu. Malah ketika saya diserang sakit jantung tujuh tahun yang lalu, kak long lah orangnya yang membawa saya ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Ketika itu dia memandu seorang diri membawa saya kehospital dan menguruskan kemasukan saya ke wad kecemasan. Mengimbau zaman kegemilangan kak Long menjadi orang kanan saya dalam hidup amat menggembirakan sekali. Kini dia sedang bangkit semula menjadi dirinya yang sebenar dalam usia 31 tahun. Perkembangan dirinya amat memberangsangkan dan saya yakin dia akan menjadi lebih baik dari dulu. Memang tiada yang mustahil dalam hidup ini. Sambil duduk diatas kerusi roda ini, banyak peristiwa yang saya kenangkan dan banyak perkara yang saya fikirkan serta membuat saya terus muhasabah diri. Kenangan bersama arwah mak yang sentiasa menjadi penasihat dalam hidup saya, adalah juga sebahagian dari rentetan kehidupan yang terindah dalam hidup ini. Perjalanan hidup saya punya seribu satu cerita yang penuh dengan pengajaran dan hikmahnya.Semua yang terjadi punya sebab tersendiri.

Allah telah mengaturnya dengan baik dan menjadikan siapa saya pada hari ini. Apa yang saya pelajari tentang hidup ini ialah, jangan mudah menyalahkan orang lain dalam hidup. Selagi berdaya lakukan segalanya dengan ikhlas. Nikmat Allah terlalu luas buat kita, bersyukurlah…..dan akhir sekali jangan bersedih jika Allah memberi musibah dan penyakit, kerana semuanya itu mempunyai rahsia kehidupan yang tersendiri untuk kita cari jawapannya dan meneroka alam yang penuh keajaiban dan hebat ini. Semoga saya sentiasa bertaqwa dan bersabar dengan apa juga dugaan yang Allah beri pada saya. Sesungguhnya jika direnung dan dikaji tentang kehidupan ini, ianya sesuatu yang amat menakjubkan dan semuanya itu menunjukkan kebesaran Allah. Ya Allah MAHA Besar...Maha Mengetahui.... ( Catatan di pagi Januari 2013)


Tamat.

Thursday, April 5, 2012

Kasih Keluarga Penawar Jiwa Pesakit Mental

Minda: Kasih keluarga penawar jiwa
Oleh Hariyati Ariffin


APABILA menyebut ‘sakit mental’ ramai membuat tanggapan bahawa individu mengalaminya gila dan perlu dijauhi. Stigma yang dilabelkan kepada golongan berkenaan amat tidak adil kerana pesakit tidak pernah terfikir untuk menjadi begitu tetapi kerana tekanan hidup yang tidak mampu dikawal adakalanya menjadikan mereka hilang arah dan sukar mengawal emosi serta bertindak di bawah sedar.

Paling menyedihkan ada golongan pesakit mental dibiarkan berkeliaran tanpa mendapat pembelaan, penjagaan rapi serta disisihkan keluarga dan masyarakat. Ada juga yang mampu disembuhkan tetapi tetap disisihkan apabila rekod mengatakan mereka ini pernah menjadi pesakit mental. Justeru, tidak hairan akibat kekurangan sokongan moral untuk meneruskan hidup selepas sembuh, penyakit berulang kerana masyarakat tidak memberi sokongan untuk mereka meneruskan hidup secara lebih berkualiti.


Berikut adalah kisah benar untuk renungan bersama.

Dia seorang yang sangat bijak dalam pelajaran, disenangi keluarga, menjadi idola adik-beradik dan kebanggaan ibu bapa. Dia lulusan sarjana muda dari sebuah universiti tempatan dan amat suka membaca, menghabiskan masa membuat penyelidikan serta menghadiri majlis ilmu.




Namun, satu hati dia menangis tanpa henti, tidur dari pagi sampai malam dan tidak mahu berjumpa sesiapa. Sejak itu perangainya mula berubah menjadi pendiam, susut tubuh badan, suka bercakap sendiri dan tergelak tanpa sebab. Ibu bapanya terlalu risau lalu cuba mendapatkan rawatan. Pelbagai kaedah rawatan dicuba, daripada perubatan hospital hingga tradisional. Lima tahun berlalu dan dia sedang dalam proses pemulihan. Bila keadaannya semakin pulih, dia ingin bekerja. Di mana dan bagaimana dia harus memulakan kehidupannya semula selepas hampir lima tahun menjadi orang asing dalam dirinya.



Kisah di atas adalah sebuah kisah benar yang didiagnosis oleh doktor sebagai penyakit kemurungan iaitu satu daripada cabang penyakit mental. Adakalanya keluarga sendiri tidak menyedari perubahan tingkah laku pesakit sehingga satu tahap dia kelihatan benar-benar tidak normal dan merisaukan barulah mereka menyedari dia perlu mendapat rawatan.

Ada antara golongan yang menghidap penyakit seumpama ini terdiri daripada golongan cerdik pandai dan profesional. Amat sedih dan rugi besar apabila mereka yang mempunyai kelulusan tinggi terpaksa menghabiskan sisa hidup dalam keadaan tidak menentu.

Berdasarkan kisah di atas sakit mental mungkin dilihat sebagai satu penyakit biasa dan kurang mendapat perhatian masyarakat, tidak seperti kanser, jantung, buah pinggang dan sebagainya. Namun, peningkatan pesakit mental dilaporkan baru-baru ini, memberi isyarat kepada masyarakat dan kerajaan bahawa sesuatu perlu dilakukan demi menjaga kesejahteraan dan keharmonian masyarakat serta negara.

Pesakit mental perlu mendapat rawatan dan pembelaan sewajarnya, bukan sekadar mendapat rawatan di hospital dan pengambilan ubat secara berterusan tetapi juga sokongan moral dan kasih sayang daripada keluarga dan masyarakat untuk memulihkan mereka menjadi individu berguna. Memang sesuatu tidak mudah tetapi tidak mustahil dilakukan.

Berkaitan itu pula, fakta yang diperoleh daripada laporan akhbar dan media online mendapati statistik secara purata menunjukkan seorang daripada enam rakyat negara ini dikenal pasti menunjukkan ciri-ciri sakit mental.

Malah tinjauan Kesihatan Mobiliti dan Kesihatan 2011 juga menunjukkan 12 peratus rakyat Malaysia berusia antara 18 dan 60 tahun berhadapan pelbagai jenis penyakit mental.

Statistik terbabit juga mencatatkan jumlah pesakit mental meningkat 15.6 peratus pada 2010 berbanding tahun sebelumnya dengan 400,227 orang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan berhubung penyakit mental pada 2010.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pernah dilaporkan berkata bilangan pesakit mental mencatat peningkatan drastik di negara ini dan jumlahnya kian bertambah setiap tahun.

Selain itu, beberapa kajian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Bank Dunia mendapati kemurungan adalah penyakit keempat paling serius dalam melumpuhkan jiwa seseorang di muka bumi ini.

Berdasarkan fakta dan statistik berkenaan, cuba bayangkan jika semakin hari semakin ramai mereka yang tidak sihat mentalnya hanya mendapat rawatan biasa saja tetapi mereka kurang mendapat sokongan moral untuk meneruskan kehidupan. Jika ini berlaku kemungkinan mereka ini sukar untuk sembuh dan tidak mustahil menjadi ancaman kepada masyarakat pula.

Apa yang ingin dicadangkan ialah kerajaan dan pihak tertentu perlu mewujudkan satu kumpulan sokongan atau pusat sehenti bagi mereka yang mengalami masalah kemurungan dan tekanan melampau mendapat bantuan moral. Fungsinya mungkin lebih kurang seperti fungsi ‘cure n care’ iaitu sebuah ‘one stop centre’ bagi penagih dadah yang diwujudkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Chow kit.

Di pusat berkenaan, ia boleh dijadikan tempat pesakit bertukar-tukar pendapat dan menjalankan aktiviti bersama. Umpamanya ramai pesakit suka perkara yang tidak memberatkan fikiran. Mereka suka kepada hiburan seperti menyanyi, menari, melukis dan membuat kraftangan.

Jika ada sebuah tempat seumpama itu mereka boleh duduk beberapa jam sehari untuk proses pemulihan. Selain itu, interaksi mereka yang senasib mungkin boleh memberi semangat kepada pesakit kembali menjadi normal.

Selain itu, jika ada pesakit yang sudah pulih, mereka harus diberikan peluang untuk bekerja dan menyara hidup tanpa prejudis. Peluang pekerjaan yang berkaitan harus dibuka untuk bekas pesakit mental bagi memberikan mereka sinar baru dalam kehidupan. Ini juga akan membuat mereka berasa lebih tenang menghadapi kehidupan.

Dalam hal ini juga peranan keluarga amat penting memberi sokongan moral untuk menyembuhkan pesakit. Semangat kasih sayang dan perhatian keluarga adalah ubat paling mujarab menyembuhkan pesakit. Kasih sayang sifat terpuji dalam Islam. Ini kerana belaian dan layanan mesra daripada ahli keluarga akan melahirkan suasana yang tenang, harmoni dan damai dalam kehidupan.

Ada juga segelintir keluarga tidak sanggup berkorban masa dan mencurah kasih sayang untuk bersama mereka yang mengalami sakit mental. Pesakit dianggap sudah tidak berguna lagi dan sanggup menghantar pesakit ke hospital bahagia dan pusat rawatan tradisional yang memisahkan pesakit dan keluarga.

Amatlah menyedihkan apabila kita mendengar kisah mereka yang menghidap sakit mental mendapat rawatan secara tradisional yang menyeksa seperti dipukul dan dikurung dengan alasan untuk menghalau jin dan syaitan.




Penulis pensyarah UiTM Shah Alam

Monday, September 26, 2011

Semoga Mak tenang dan kembali keRahmat Allah...

Tiada siapa menyangka, keadaan mak yang semakin pulih dari sakitnya sebenarnya adalah petanda bahawa dia akan pergi buat selama-lamanaya. Mak telah kembali kerahmatullah pada 11 Ramadhan bersamaan 11 Ogos 2011. Saat kehilangan Mak amat aku rasakan, terlalu sedih dan tiada perkataan yang dapat menggambarkan perasaan ku ketika itu. Beberapa hari sebelum mak meninggal dunia, dia berpesan agar aku jangan tinggalkan dia, disuruhnya aku memeluk dan menciumnya, duduk dengannya setiap waktu.

Aku dapat rasakan satu kelainan pada diri mak...memang aku memikirkan sesuatu yang buruk, tapi aku pujuk diriku dengan mengatakan bahawa itu hanya mainan perasaan sahaja. Rupa-rupanya benarlah kata hati dan firasat ku bahawa itu petanda yang dia akan meninggalkan aku buat selama-lamanya. Mengenang kembali kisah hidup aku sebagai anak sulung perempuan bersama mak...rasanya ianya boleh aku jadikan buku. Sebagai anak sulung perempuan dari 10 orang adik beradik, Aku adalah orang kanan Mak yang sentiasa bersamanya menjaga adik2 sewaktu mereka masih kecil. Bayangkan sepuluh orang semuanya adik beradik aku, pasti kecoh dan sukar untuk mak menjaganya seorang diri. Mujurlah aku dan adik2 perempuan mempunyai jarak umur yang tidak jauh antara satu sama lain. Dalam keluarga besar kami, bergotong royong membantu mak dirumah adalah rutin hidup kami. Kehidupan masa itu sentiasa sahaja gembira, jarang memikirkan masalah, walaupun ayah bekerja di kilang besi, mak pula suri rumah, kami sentiasa bersyukur atas apa yang ada.

Arwah ayah seorang yang sangat bertanggungjawab terhadap anak2 dan mak pula sentiasa memastikan kami makan makanan masakan dirumah. kalau tak ada lauk pun mak akan masak sambal tumis ikan bilis dan kami makan dengan nasi dan kicap. Lebih lumayan mak akan goreng telur dadar. Ah!!! masa tu masakan itulah yang menjadi makanan kegemaran kami.Kalau nak makan ayam atau daging hanya waktu hari raya sahaja. Ayah akan pastikan masa hariraya kami dijamu dengan makanan enak sebab anak2nya dah penat berpuasa sebulan. Mak amat menyintai ayah dan masa mak bersalin adik kami yang kesepuluh mak tak boleh berjalan lepas bersalin secara pembedahan. Lebih kurang 4 tahun lamanya Mak terpaksa berpapah sebab lepas bersalin mak mengalami komplikasi yang agak teruk akibat bersalin secara ceaserian. Arwah ayahlah yang menjaga Mak. Begitulah gigihnya arwah ayah dan kami adik beradik menjaga mak yang tak boleh berjalan sehingga lah Mak boleh menggunakan tongkat untuk berjalan sendiri. Sejak mak sakit aku sudah berazam untuk berhenti sekolah menjaga mak dan adik2 yang lain. Tapi mak dan ayah tak benarkan. Mereka kata, kalau tak sekolah nasib aku masa depan tak akan berubah.Mesti sama macam nasib mak dan ayah. Mereka suruh aku teruskan persekolahan walau apa pun terjadi...kerana bagi mereka hanya pelajaran yang dapat mengubah nasib keluarga kami.Aku akur pada pendapat mereka.



Malangnya sesuatu yang tidak diduga berlaku, arwah ayah yang sihat dan sentiasa ceria kembali kerahmatullah pada usia 59 tahun. Dia disahkan mendapat serangan jantung ketika itu. Mak bagaikan hilang tempat bergantung disaat ayah meninggal dunia.. bagaimanapun selepas arwah ayah meninggal..aku menggantikan tempat arwah ayah menjaga mak...bermula disitulah aku mula akrab dan menjaga mak sehingga akhir hayatnya.Mak dan aku punya banyak persamaan. Kami suka masak, menjaga pokok bunga, membuat kuih dan bercerita. Pernah aku berkata kepada mak...jika aku tidak menjadi pensyarah ketika ini...mesti aku jadi suri rumah yang paling berjaya....mak sentiasa suka mendengar celoteh ku...Keserasian itu yang membuatkan Mak begitu betah dirumah aku. Malah aku selalu bercerita mengenai Mak kepada pelajarku. Pendekkata cerita Mak pandai masak, kisah mak dan segala suka duka bersama Mak adalah topik yang selalu aku bualkan bersama pelajar.

Aku masih ingat lagi mak pernah berkata bahawa dia tidak sangka kehidupan aku boleh berubah sebegini. katanya dia tidak sangka yang aku akan mempunyai kerjaya dan memiliki rumah serta kereta kerana sejak kecil aku banyak membantu emak dirumah sehingga bercadang untuk berhenti sekolah. Aku senyum mendengar pengakuan mak. Sesungguhnya itu sahaja bakti yang dapat aku curahkan kepada mak sewaktu aku kecil dan sekarang bakti aku kepada mak tersayang ialah menjaganya sewaktu tua. Jika dihitung kesengsaraan mak dan ayah menjaga dan membesarkan aku tidak terbalas rasanya apa yang aku lakukan ini kepada mereka. Mungkin hanya sekelumit dan sedikit sangat berbanding pengorbanan mereka.



Malah semasa hayatnya Mak pernah berkata aku ibarat semangat kepada dia. katanya dulu arwah ayah adalah semangat Mak tapi selepas arwah ayah meninggal mak bagaikan hilang semangat dan hidupnya sentiasa sedih dan berduka. Namun kehidupan mak mula ceria sejak tinggal dengan aku. Waku bekerja aku pastikan keperluan mak terjaga. Waktu pagi kami selalu sarapan bersama,mak suka makan roti bakar, begitu juga makan tengahari dan minum petang. Keakraban itu yang membuatkan aku sukar berpisah dengan mak. Dirumah, mak menjaga tertib anak2 perempuan aku. Banyak pantang larang yang mak bagi serta petua menjadi wanita melayu terbaik. Anak2 sekarang tidak suka sangat ditegur, tapi mak tetap tegas dengan amalannya. Mak tidak suka anak2 perempuanku bercakap kasar atau menengking aku. mak akan naik angin jika mendengar anak2 aku mula meninggi suara kepada aku. Mak selalu menasihatkan anak2 ku supaya membantu aku menguruskan kerja2 rumah kerana kami tiada pembantu. mak kata dia terlalu simpati dan kasihan melihat aku apabila aku terpaksa bertungkus lumus membuat kerja rumah sekembalinya dari tempat kerja. Sifat aku yang lembut membuatkan emak lebih banyak mengajar anak2 aku menjadi manusia. Sayangnya Mak kepada aku tidak terhingga... sehingga waktu aku sakit dia lah yang menjaga aku dan bukannya anak2 ku atau suami ku. Pernah aku jatuh sakit dan dimasukkan keunit ICU...mak lah orang yang paling sedih dan risau tentang keadaan aku. Dia cakap kalau ditakdirkan aku akan pergi dulu dia sanggup menggantikan tempat aku....katanya aku masih banyak tanggungjawab yang hendak dipikul dan digalas, dia pula sudah tua...aku menangis mengingatkan ini semua. Sedih tidak terkata. Bagiku sudahlah dia berkorban untuk aku dia sanggup juga menggantikan aku jika sesuatu terjadi...ah begitulah mulianya hati seorang ibu.Namun mak pernah menyuarakan rasa bimbang terhadap aku jika aku tua tidak ada sesiapa yang mahu menjaga aku. katanya, " Atie jaga mak masa sekarang...nanti atie tua sape nak jaga pulak, budak2 tu bukan boleh harap sangat, risau pulak mak.." katanya. Aku pula sentiasa memberi semangat kepada mak dengan mengatakan insyaAllah tentu ada salah seorang anak yang akan menjaga Atie nanti....Mak jangan bimbang...

Dalam melalui liku hidup ini...takdir menentukan segalanya. Januari 2011, mak mula jatuh sakit. Dua kali keluar masuk hospital dan kali terakhir dia dimasukkan ke hospital pada bulan Julai 2011. Sewaktu dimasukkan kehospital kali terakhir mak sudah tidak mahu tinggal disitu, mak minta aku bawa dia pulang kerumah. Dia kata kalau nak jadi apa2 biarlah dirumah dan biarlah didepan aku. Mendengar rintihan Mak...Aku akur permintaan mak. Selepas keluar hospital mak nampak semakin sihat dan ceria. Namun tiada siapa sangka, selepas tiga minggu keluar hospital mak menghembuskan nafasnya yang terakhir dipangkuan aku. Masih teringat lagi dua hari sebelum meninggal Mak minta aku rebuskan keledek dan suapkan dia makan dilaman rumah yang penuh dengan pokok bunga hasil usaha kami berdua. Mak kata cantik pokok2 tu " Atie...kau jaga pokok2 tu baik2 ye..." pesan mak pada aku..Dia memang sayang pokok2 bunya yang ditanamnya sejak 10 tahun lalu. Malam terakhir bersama Mak, iaitu pada 11 Ramadhan aku asyik teringat pada mak sahaja. Aku seperti terdengar2 suara mak memanggil nama aku. Malam tu aku tidur peluk mak dan terasa hangat tubuh mak. Aku genggam tangan Mak. Mak tidur agak nyenyak. Tepat jam 3 pagi mak bangun minta air pada aku, katanya dia haus sangat2. Aku bingkas bangun dan mengambil segelas air...sambil memegang gelas yang berisi air, aku memangku kepala mak untuk memberinya air, dia memandang tepat pada anak mata ku, tiba2 mak jadi sesak nafas... dan dengan tiga kali tarik nafas Mak pergi meninggalkan aku buat selama-lamanya. Saat melihat keadaan mak begitu aku sudah tahu Mak dah tak ada lagi. Aku meletakkan kepala mak dibantal dan mencium nya buat kali terakhir. Tatkala itu aku tidak dapat menangis kerana terasa terlalu sebak sehingga aku tdk dapat menitiskan air mata. Itu lah kenangan terakhir aku bersama Mak yang tidak mungkin dapat aku lupakan buat selama-lamanya.

Namun hari ini rasa rindu pada mak sentiasa membara. Segala kenangan pahit manis bersama mak tergambar di memori ku. Sekarang ini barulah air mata ku begitu murah bercucuran dan perasaan rindu pada mak semakin menghimpit perasaan. Apapun mak pastinya sudah tenang disana. Aku doakan mak di rahmati Allah dan bersama para solihin. Aku juga tidak tahu bila pula masa aku akan pergi mengadap ilahi. Ye....kita semua akan kesana, satu destinasi terakhir dalam kehidupan kita. Sejak mak pergi aku sering memikirkan tentang kehidupan selepas ini. Semoga aku tabah dan terus memuhasabah diri untuk mencari jalan pulang yang diredhai Allah...Amin...


Buat semua yang mengikuti blog ini....sayangilah ibubapa anda selagi mereka masih ada....