Saturday, December 27, 2008

Selamat Tahun Baru Hijrah...


[ Testi Ucapan4u ] [ Malaysia Tv Series ]


Semoga kita terus mendapat keberkatan dan di permudahkan Allah atas segala urusan dimuka bumi ini. Biarlah apa yang berlalu kita jadikan sempadan untuk membina hidup dan diri yang lebih baik ditahun baru ini.

Monday, December 15, 2008

Rindunyer pada kalian...



Hari ini aku melangkah ke Fakulti dengan rasa yang kurang ceria. Pertama kerana sudah seminggu aku bercuti dan hari ini aku memulakan tugas seperti biasa. Keadaan di Fakulti terasa lain sangat...sunyi dan tiada serinya...entah mengapa tiba-tiba perasaan rindu yang membuak-buak pada keriuhan Fakulti menerjah perasaan ku...Jika waktu kuliah, akulah yang paling ceria melambai pelajar ku kesana kesini persis Diva tua yang cari publisiti. Tapi hari ini, kesepian Fakulti membunuh keceriaan ku dan aku menjadi rindu sekali pada pelajar2 ku...

Tatkala melangkah kebilik ku...terpampang gambar2 pelajar diseluruh dinding bilik ku...Ah...terubat sedikit rasa rindu ini pada kalian...bisik hati ku...memang benar kata Prof Madya Abdullah (Pak Lah) bilik ku ini umpama galeri aku dan students yang memaparkan pelbagai aksi ku bersama pelajar.Aku merenung gambar2 pelajar yang sudah tamat semester 6 yang dilekatkan disebelah kanan bilik ku...nampak ceria sangat mereka. Begitu juga yang lain semuanya penuh dengan aksi kegembiraan.ya...rindu ini terus menghambat rasa.

Tak sabar rasanya nak berjumpa mereka. Tinggal dua minggu lagi kuliah akan bermula, pastinya ramai pelajar masih malas untuk kekuliah, tapi bagi ku, saat2 mengajar dan kuliah adalah masa yang paling aku nantikan...Entah mengapa aku rasa dekat dengan pelajar, walaupun aku tahu tak semua pelajar mahu mendekati aku...( mereka ada persepsi masing2 terhadap aku) tapi aku tetap dengan cara ku yang `over peramah' dan melonggarkan sempadan antara pelajar dan pensyarah.

Dalam asakan rinduku pada mereka, aku kirimkan sms pada pelajar2 yang pernah rapat dengan ku...mungkin bagi sesetengah orang agak pelik bunyinya...pensyarah menghantar sms pada pelajar....tapi itulah diriku yang sebenarnya...pelik tapi benar...sikap ku yang sukar difahami ini kadangkala mengundang rasa negatif pada sesetengah orang. Tapi bagi diriku...itulah keikhlasan dari jiwa yang luhur dan kasih yang tak pernah padam dari seorang pensyarah. Aku tidak kisah apa orang nak kata...aku bahagia dengan cara ini...inilah hidup ku....selain melayan emak dan anak2 dirumah serta menguruskan pokok2 bunga didepan rumah, aku jarang ada kawan bersosial kecuali suami. Duniaku hanya berkisar dirumah, Fakulti, anak2, emakku, suami dan pelajar2. Itulah kehidupan ku...kebahgiaanku dan ketenangan ku...

Saturday, December 13, 2008

EMAK OH EMAK....




Emak adalah segala-galanya bagi ku. Arwah ayah dah meninggal sejak lebih 15 tahun lalu. Sejak itu mak tinggal bersama beberapa adik beradik yang lain sehinggalah sekarang mak tinggal dengan aku. Dah empat tahun mak duduk dengan aku sejak aku balik dari UiTM Arau dan mengajar di Shah Alam. Mula-mula dulu mak duduk dengan adik ketiga aku, tapi mak selalu tanya aku bila nak balik Shah Alam sebab mak tak sabar2 nak tinggal dengan aku.Bila aku ditukarkan semula ke Puncak Perdana di Shah Alam pada tahun 2005 mak terus pindah dari rumah adik dan tinggal dengan aku diasrama Puncak Perdana. Masa tu aku jadi warden kat sana. Mak tak kisah rumah aku yang hanya sekangkang kera, maalumlah rumah apartment sudahlah kecil kawasan pun terhad. Mak tak kisah itu semua, yang penting mak dapat tinggal dengan aku.

Mak tak sihat sangat, kaki mak lemah tak boleh jalan jauh, matapun kabur. Tapi mak punya semangat yang sangat kuat dan semangat mak yang mengalir dalam tubuh aku ini lah yang membuatkan aku juga kuat menghadapi pelbagai dugaan hidup dan menjadi siapa diri aku hari ini. Mak ada macam2 sakit, dari sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan sakit buah pinggang. Mak juga dah jalani macam2 pembedahan, penderitaan mak cukup hebat. tapi mak seorang wanita yang tabah.

Mak mula lumpuh pada usia 40 tahun ketika melahirkan adik bungsu ku. Semenjak itu arwah ayah yang menjaga mak, mandikan mak, cari ubat untuk pulihkan kaki mak dan macam2 lagi. Ketabahan arwah ayah menjaga mak serta kasih sayang yang ditunjukkan pada mak sungguh tiada tandingannya. Malangnya arwah ayah diserang sakit jantung pada usia 50an dan meninggal dunia ketika kami semua masih memerlukan beliau terutama mak yang sakit ketika itu. Aku dapat rasakan penderitaan mak dan kami sepuluh beradik terpaksa saling bantu membantu selepas ketiadaan arwah ayah.


Berbalik pada cerita Mak, sejarah hidup mak sungguh trajis. Mak anak yatim yang kehilangan ayahnya (datuk aku) pada usianya 8 tahun. Selepas itu mak tak sekolah lagi, mak dihantar oleh ibunya seorang wanita China Mualaf kerumah saudara mara sebelah ayah mak sehingga mak remaja. Rentetan peristiwa kehidupan mak banyak yang sedih. Mak pernah ikut nenek ku bekerja sebagai Amah atau orang gaji disekitar Kuala Lumpur dan hidup merempat, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Sebagai anak kedua ( aku ada abang Long) dan anak perempuan sulung aku memang rapat dengan mak. Dari kecil mak dah ajar aku memasak, menguruskan rumahtangga dan menjaga adik beradik yang ramai. Pendekkata akulah orang kanan mak. Segala pekerjaan didalam rumah aku uruskan dulu sebelum kesekolah. Bila balik dari sekolah banyak kerja yang menanti aku. Walaupun letih aku tak pernah merungut dan sentiasa setia bersama mak dan ayah kerana sebagai anak perempuan sulung sudah menjadi tanggungjawab ku membantu mak dan ayah. Kami bukan dari kalangan orang yang senang. Ayah bekerja di kilang besi dan ibu surirumah yang setia. Dengan pendapatan ayah yang tidak seberapa kami sepuluh beradik masih dapat bersekolah dan tidak pernah kebulur.

Mak mengajar aku erti ketabahan dan kesabaran. Mak suruh kami adik beradik bersyukur terhadap apa yang ada dan hidup bermuafakat. Kerana kami ramai adik beradik selalu aku dan abang long terpaksa beralah bila waktu makan. Mak tak pernah lupa tu semua dan nasihatkan adik2 yang lain menghormati aku dan abang long yang dah banyak bekorban untuk adik2 yang lain. Mak jadikan kami adik beradik bersatu hati. Pernah kami makan bercatu, Selalu mak cakap sikit sama sikit, banyak sama banyak. Tapi hakikatnya semua yang kami lalui menjadikan kami lebih tabah dan redha dengan ketentuan hidup kami.

Walaupun kami sepuluh beradik, mak tak pernah pilih kasih. Aku tak dapat lupakan peristiwa waktu adik bungsu meninggal dunia kerana sakit jantung berlubang. Mak nampak tabah, walaupun aku tahu hati mak remuk, bila adik disahkan meninggal dipangkuan mak setibanya dihospital. Masa tu aku dah berumur 16 tahun. Tapi aku dapat rasakan betapa pilunya hati seorang ibu melihat anak yang dijaganya siang dan malam kaku didalam dakapannya. Tapi mak sentiasa redha.

Mak dah lalui banyak perkara dalam hidupnya. Kisah suka duka hidup mak terlalu panjang dan mak kini dah bahagia hidup dengan aku. Dalam usia aku yang setengah abad ini aku dah tengok segala penderitaan mak dan ketabahan mak yang menjadi sumber kekuatan hidupku. Mak selalu cakap dengan aku yang dia nak tinggal dengan aku sampai akhir hayatnya. Katanya dia cukup serasi dengan aku dan tidak betah dirumah adik beradik yang lain. Baginya akulah satu2nya anak yang boleh diharapkan menjaga dia waktu usianya sebegini. Mak cakap dalam ramai2 anaknya aku penyabar dan penyayang macam arwah ayah....aku menitiskan airmata bila mak cakap macam tu...aku tahu wajah aku saling tak tumpah macam arwah ayah dengan kulit gelap dan rambut kerinting yang aku warisi dari arwah ayah.

Sejak dulu arwah ayah cakap akulah anak ayah kerana aku tidak cantik jika dibandingkan dengan anak2 yang lain yang berkulit cerah dan ikut kulit mak serta kecantikan mak masa muda. Masih aku ingat lagi bila aku tanya arwah ayah mengapa aku tak cantik macam adik2 yang lain, arwah ayah cakap sebenarnya akulah gadis paling cantik kerana dinegeri Jawa, puteri Jawa wajahnya seperti aku, berkulit gelap dan berambut kerinting. jadi ayah aku gelarkan aku `Puteri Jawa Bapak', Masa dulu aku cukup bangga dengan gelaran itu dan merasakan aku cantik seperti Puteri Jawa. Aku senyum sendirian bila mengingatkan bagaimana bijaknya ayah memberi kata2 positif ini dalam diriku.

Mak pun selalu bagi perangsang padaku untuk menjadi bijak dan meneruskan cita2nya menjadi guru. Masa kecil cita2 mak nak jadi cikgu. Mak suka sangat jadi guru tapi tak kesampaian kerana kesempitan hidupnya masa dulu. Sekarang mak bangga aku menjadi pensyarah kerana baginya pekerjaan yang mulia adalah menjadi seorang pendidik. Mak suka sangat kalau aku bawa pelajar pulang kerumah dan kami masak sama2 dan makan tengahari. Mak pun bersama-sama masak dan suka berbual dengan pelajar2 ku yang ramah dan suka panggil mak dengan panggilan nenek. Beberapa orang students ku sudah mak kenali dan kadang tu bertanya padaku mana Anis, mana Nadia, ifah dan ramai lagi...walaupun dah berusia 70 tahun Mak kuat ingatan dan boleh hafal nama2 students ku yang datang rumah.

Dalam kehidupan seharian pula mak selalu menjadi penasihat ku. Aku beruntung ada mak yang selalu disamping ku walaupun aku juga dah tua. Mak selalu suruh aku bersabar bila anak2 menengking aku dan bila anak2 degil tak mahu dengar cakap aku. Mak cakap semua ini adalah takdir dalam hidup seseorang. Kita perlu terima apa yang telah Allah tuliskan dalam hidup kita. Mak cakap lagi, anak2 belum tahu sayang kat ibu mereka selagi mereka tak kahwin dan tak rasakan sakitnya bersalin. " Biarlah dulu....nanti diaorang dah kahwin baru diorang tahu macam mana penderitaan mengandung dan melahirkan anak masa tu baru diorang sayangkan ibu" kata mak pada ku.

Mak memang sayangkan anak2nya semua. Tapi aku dan mak punya chemistry yang kuat.kami berkongsi minat yang sama, memasak dan menjaga pokok bunga. Itu hobi aku bersama mak. Aku sering luangkan masa menjaga pokok bunga kesayangan kami berdua. Paling aku ingat dua tahun lalu masa aku terlantar dihospital kerana sakit jantung, mak menangis, mak cakap aku tak boleh mati dulu sebab mak tak tau nak tinggal dengan siapa. Masa tu aku minta Allah cepat sembuhkan penyakit aku untuk aku berbakti pada mak. Aku tak nak sakit sebab jika aku sakit mak lah orang yang paling risau...

Dua hari yang lepas mak gembira sangat kerana kami anak beranak pergi ke Port Dickson. Mak dah lama tak jalan2 kerana mak tak tahan duduk dalam kereta lama2 dan kaki mak lemah. Mak sakit pinggang dan selalu nak buang air kecil kalau jalan jauh. Mak tak nak susahkan aku. Dua hari lalu aku dan anak2 sempat membawa mak jalan2 kat tepi pantai dan mak nampak girang sekali. Tapi hari ni mak sakit pinggang dan minta jumpa doktor. Aku bawa mak jumpa doktor yang biasa mak pergi kat Shah Alam. Mak dah biasa dengan doktor perempuan tu. Hari ini entah mengapa doktor perempuan tu menangis bila tengok mak. Dia cakap dia teringatkan mak dia yang baru saja meninggal dunia . Dia sedih sangat tengok cara kami layan mak dengan penuh kasih sayang dan dia terharu sangat tengok kemesraan kami. Mak pun sedih bila doktor tu menangis tengok mak. Tapi mak cakap mak terlalu bahagia dengan anak2 mak dan aku yang disisi mak rasa gembira tengok wajah mak yang bercahaya walaupun mak sakit pinggang sebab jalan jauh semalam. Semoga mak panjang umur dan sihat selalu.....sayang mak selalu.

Friday, December 12, 2008

Buku lama bakal ditutup.....




Peristiwa pahit manis yang berlaku pada tahun ini membuatkan aku menghitung diri dalam pelbagai sudut. Hidup ini penuh suka duka dan pengajarannya. Cuma tinggal lebih kurang dua minggu lagi untuk kita melangkah ketahun baru...tahun 2009. Semestinya apa juga peristiwa yang kita tinggalkan sepanjang tahun ini adalah satu kenangan buat kita selagi hayat dikandung badan.

Ada sesalan dihati ku tentang sesuatu hal yang tidak pernah aku lepaskan setelah menyimpanya sekian lama. Semoga aku dapat menyelesaikan perkara itu secepat mungkin. Ajal maut, jodoh pertemuan ditangan Allah, tapi aku masih terasa sesuatu yang belum selesai jika aku tidak dapat menerangkan apa yang terbuku dihati ini dan berhadapan dengan seseorang yang begitu membenci diriku.... sememangnya tidak semua orang menyukai kita, tapi aku masih bertegas untuk menerangkan sesuatu pada seseorang ini biar pun dia akan terus membenci ku sepanjang hayatnya...

Thursday, December 4, 2008

TUAN HAJI SHAFIE DALAM KENANGAN



Langkah ku terhenti didepan bilik arwah Tuan Haji Shafie. Kedudukan bilik (pejabat) arwah yang berada betul2 dihadapan pintu masuk pejabat FKPM mengimbau banyak kenangan bersama Arwah. Biasanya bilik itu sentiasa penuh dengan rakan2 dan pelajar yang ingin berurusan dengan beliau. Hari ini, bilik itu menanti tuannya yang tidak akan kembali lagi. Aku sebak, tapi tidak mahu dilihat oleh rakan2 kerani dipejabat. Aku hayunkan langkah ke bilik am pensyarah, kelihatan beberapa pensyarah sedang khuyuk membaca akhbar berkaitan arwah...aku sedih, airmata yang bergenang membuatkan pandangan ku berkaca.

Staf FKPM masih dalam berkabung. Jika selalunya beberapa kerani yang berada di ruang pejabat FKPM bergelak ketawa dan sentiasa riuh rendah, hari ini agak berbeza. Masing2 bagaikan melayan emosi dan kelihatan muram dan kurang bertenaga.

Bagiku, pemergian Tuan Haji Shafie ke rahmahtullah adalah satu kehilangan besar buat FKPM. beliau yang pada zahirnya nampak serius, sebenarnya mempunyai jiwa yang sungguh lembut dan prihatin. Aku masih ingat dua minggu sebelum beliau ke New Zealand aku sempat bergurau dengan arwah dengan mengatakan arwah nampak extraordinary handsome dengan baju Melayu warna hijau. Dia sambil berseluruh berkata..." ai tak kan ari ni baru U perasan I handsome....rugilah kalau you tak perasan selama ni I handsome' kami sama-sama gelak besar dengan disambut ketawa dari staff pentadbiran yang lain. Dalam hati ku berkata, boleh buat lawak gak Tuan Haji ni ye...

Sikap prihatinnya juga ditunjukkan pada ku dalam dua kes berasingan, dimana aku tidak dapat pergi ke Trengganu untuk menemuramah pelajar baru kerana masa yang diberikan oleh Fakulti sangat suntuk. lagipun aku terpaksa memandu kereta seorang diri kesana. Beliau dengan rela menukar tempat dengan ku untuk keTrengganu. Masa tu hanya Allah saja yang tahu betapa bersyukurnya aku dan doaku masa tu biar Allah yang membalas jasa baik Tuan Haji padaku.

Disebalik wajah serius beliau, sebenarnya hati beliau amat lembut dan memahami masalah orang lain. Satu lagi peristiwa dimana beliau mengarahkan aku menemuramah pengambilan pelajar baru di Perlis kerana memahami yang aku mempunyai sakit jantung dan tidak boleh travel melalui udara jika diarahkan ke Sabah atau Sarawak. Dia cukup memahami diriku dan jika aku sering buat event dengan students dia suruh aku jaga kesihatan. Itulah dia Allahyarham Tuan Haji Shafie Ahmad, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar FKPM. Kini tiada lagi Tuan Haji yang sering kalut meluluskan budget students dan merancang aktiviti untuk kami di Jabatan Liberal....terasa sungguh kehilangannya.

Jika hendak ditulis kenangan bersama beliau terlalu banyak rasanya yang boleh ditulis disini. Namun cukuplah jika aku katakan Allah menyayangi orang yang baik dan kita sebagai insan yang masih diberi peluang oleh Allah untuk hidup berdoalah buat mereka yang dah pergi. Segala yang berlaku jadikan iktibar dan sempadan dalam hidup

Hari ini juga aku berpeluang menziarahi isteri arwah yang bernama Sarimah dirumah mereka di Seksyen 8, Shah Alam. Sarimah seorang wanita yang sungguh tabah dan riak mukanya nampak sungguh redha dengan pemergian Allhyarham. begitu juga anak2 Allahyarham yang begitu sabar dan tabah menerima ujian Allah ini. Semoga Allah cucuri rahmat keatas roh Tuan Haji Shafie.....Amin...

Wednesday, December 3, 2008

Hidup Penuh Cabaran, Mati Satu Kepastian.

Berita sedih saya terima hari ini mengenai kemalangan di Utara New Zealand yang melibatkan Pensyarah dan pelajar-pelajar dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, tempat saya mengajar sungguh menyedihkan dan terkesan. Tuan Haji Shafie pensyarah FKPM terbunuh bersama seorang pelajar penyiaran semester 3 Mariam dari Sarawak. Kesemua yang terlibat pensyarah dan lima pelajar adalah dalam rangka lawatan sambil belajar ke sana selama 10 hari. Mereka adalah rakan dan pelajar2 saya dan sehingga saat ini saya masih terkenangkan saat2 bersama mereka.

Entahlah....semalaman saya tidak dapat melelapkan mata, terfikir mengenai kematian yang datangnya tidak tentu masa dan ketika. Dimana-manapun kita mati, dan dalam kehidupan penuh cabaran, kita sering mengeluh jika diuji Allah. Kita sering lupa pada tanggunjawab kita. Mati itu satu kepastian, tidak boleh kita tangguhkan walau sesaat. Janji kita pada Allah telah kita buat sebelum kita lahir ke alam ini.

Sepanjang cuti semester ini, saya terus memikirkan tentang kehidupan yang adakalanya pasang dan surut dalam menghadapi liku2 hidup.Cuti semester ini mengajar saya tentang kesabaran, keimanan dan menguji jiwa dan emosi saya. Dalam memikirkan semua itu, saya rasa sungguh bersyukur terhadap nikmat Allah yang melimpah ruah dan betapa ujian yang Allah berikan hanya secalit dalam kehidupan ini. Jika saya berasa sungguh sedih terhadap apa yang berlaku, orang lain menghadapi dugaan yang lebih hebat lagi.

Kehilangan orang yang tersayang dan terpaksa mengharungi kehidupan menjadi ibu tunggal ( seperti isteri arwah Tuan Haji Shafie)adalah sesuatu yang amat menyedihkan jika di fikir secara mendalam. Sekelip mata mereka kehilangan insan tersayang. Tiada pesanan terakhir mahupun peluk cium terakhir sebelum mereka pergi menghadap ilahi.Yang hidup hanya perlu meneruskan kehidupan ini, segala ketentuan Allah pastinya punya hikmah terbesar dalam diri seseorang.


Saya terkenangkan salah seorang pelajar yang tercedera dalam kemalangan itu dan parah Amirul Rashid pelajar Penyiaran semester 3 yang berjumpa saya pada akhir semester dan kami berbual panjang tentang kehidupan dan perasaan. Dia sememangnya rapat dengan saya.

Beliau yang mengalami sakit leukimia bertanya saya mengapa Allah begitu banyak menduga hidupnya. Selain menghidap leukimia, beliau juga kecundang dalam percintaan. Kisah cintanya dengan pelajar semester satu penyiaran juga menjadi satu igauan apabila gadis itu memutuskan perhubungan mereka dan sering membuatkan beliau serba salah dan rasa tertekan. Pelbagai kisah hidup dan penderitaan perasaannya di kongsi dengan saya. Sebagai seorang pensyarah saya mendengar segala keluhannya dan ibarat seorang ibu saya turut memahami kesedihan jiwanya. Malah saya terus suntikkan semangat padanya untuk menghadapi semua dengan tabah.

Saya jelaskan pada beliau, Allah hanya menduga insan yang terpilih dan kuat menghadapi dugaanNYA. Kesabaran amat diperlukan dalam mengharungi segala dugaan Allah dan Amirul juga nampak tabah dengan segala yang dilaluinya. Walaupun terpacul dari mulutnya satu sesalan...mengapa mesti dia yang dipilih untuk menghadapi semua ini. Masih terngiang-ngiang lagi suaranya bercakap dengan saya....` Mama saya hanya mahu bercakap dengan seseorang mengenai perasaan saya yang begitu berkecamuk waktu ini, mujur Mama ada menjadi pendengar yang baik, terima kasih Mama' kata2 Amirul membuatkan saya hampir menitiskan air mata.

Hari ini saya terima berita beliau parah dalam kemalangan itu dan perasaan saya sungguh sayu dan sedih. Saya berdoa pada Allah selamatkan Amirul dan berharap dia dapat pulih dengan segera dan merealisasikan impiannya untuk terus bahagia.

Semoga Allah mencucuri rahmat keatas roh Tuan Haji Shafie dan Mariam serta menyelamatkan pelajar2 lain yang kritikal di hospital Aukland di New Zealand. Amin

Tuesday, December 2, 2008

Warkah buat kak Long....



Mama sentiasa berdoa Kak Long di rahmati Allah dalam apa yang kak Long buat. Mama doakan perjalanan hidup Kak Long dipermudahkan Allah...

Kak Long ingat lagi tak...masa kecil2 dulu Mama selalu pergi sekolah Kak Long masa rehat...Mama suapkan Kak Long makan sehingga ramai kawan2 Kak Long cemburu tengok Kak Long...Mama selalu duduk ditingkap kelas Kak Long...lambai2 kat kak Long lepas tu kak Long suruh Mama balik sebab cikgu dah nak datang...

Masa tadika dulu...Kak Long suka duduk dalam kain batik Mama waktu tunggu bas sekolah datang...Mama belai rambut Kak Long dan Kak Long peluk dan cium Mama masa bas datang...Kak Long lambai kat Mama sampai bas dah tak kelihatan lagi....

Tiap2 tahun Mama lah orang yang paling bangga bila Kak Long dapat nombor satu dan naik pentas terima hadiah...masa tu Mama macam jakun je...jengok2 anak mama dan panggil2 dari bawah pentas...Kak Long ingat lagi tak???



Mama nak Kak Long tahu Mama amat menyayangi Kak Long...Kembalilah menjadi diri Kak Long yang sebenar...Mama rindu pada saat indah kita dahulu...

Kak Long...manusia berubah dan pada usia kak Long hampir 27 tahun ini Mama tahu banyak perkara yang Kak Long dah lalui...Mama percaya Kak Long akan mendapat apa yang Kak Long harapkan selama ini. Percayalah semua rezeki dan jodoh ditangan Allah...bersabarlah dan pasrah pada ketentuan dan takdir yang Allah berikan pada jalan hidup kita...Mama dah tua...dah setengah abad umur Mama...namun Mama tak putus2 berdoa Kak Long mendapat kerja yang baik dan jodoh yang baik....sabar lah nak...

Jangan fikir sangat tentang nasib orang lain yang baik...kita tidak tahu nasib kita mungkin Allah mahu menguji kesabaran kita...bersabarlah kak Long ....Mama sentiasa doa yang terbaik untuk Kak Long...Allah Maha mendengar, Allah Maha mengasihani dan Allah Maha mengetahui apa yang baik dan buruk untuk hambaNYA...

Monday, December 1, 2008

Mengapa manusia jarang menghargai sesuatu yang ada pada dirinya.

" Kita jarang menghargai sesuatu yang ada pada kita sehingga kita kehilangannya, namun apabila kita kehilangannya barulah kita menyedari bahawa sesuatu atau sesorang itu amat berharga dalam hidup kita, tapi adakalanya nasi sudah menjadi bubur, yang pergi itu kadangkala tidak kembali lagi...". Begitulah madah yang sering kita dengar mengenai sikap seseorang yang tidak dapat menghargai sebutir intan yang ada dalam hidup mereka. Akhirnya bila ianya hilang, datanglah sesalan dan ternyata yang hilang itu amat sukar dicari ganti.

Sememangnya hidup manusia amat jarang menghargai apa yang kita miliki. Apabila mempunyai ibu dan ayah kita merasakan kedua orang tua kita terlalu cerewet, mengongkong hidup kita dan tidak memahami jiwa remaja. Adakalanya anak2 yang terlalu dimanjakan tergamak dan sampai hati membiarkan ibu dan bapa mereka hidup menderita hanya kerana mereka ingin lari rasa tanggungjawab.

Benarkah anak2 zaman sekarang tidak lagi menghargai ibubapa mereka? Persoalan ini sering di ajukan kerana senario zaman sekarang memperlihatkan betapa ramainya anak2 yang zalim dan membiarkan ibubapa mereka menderita sedangkan mereka hidup dalam keadaan yang mewah.

Jika dulu...anak2 mudah mengikut kata ibubapa. Mereka diajar dengan disiplin yang kuat dan sering menurut perintah. Kata2 ibubapa adalah kata2 muktamat dan tidak ada anak2 yang berani mengubah atau membantah dengan perkataan ah...atau berani menarik muka masam. Budaya menghormati orang yang lebih tua amat ditekankan pada zaman dulu.

Namun senario sekarang jauh berbeza dengan zaman dulu. Ibubapa melayan anak2 bagaikan raja dan puteri dirumah, cara pendidikan juga diberikan secara penuh berhemah dan kasih sayang. Segala apa juga kehendak dituruti. Namun seperti kata pepatah `ibarat pedang makan tuan' anak2 sekarang tidak pandai menghargai kedua ibubapa mereka. Bukan sahaja menarik muka masam jika disuruh solat, dan mengemas rumah, pelbagai alasan diberikan untuk melengahkan perkara yang baik. Nasihat ibubapa dikira satu leteran yang membosankan dan membingitkan telinga. Lebih menyedihkan ada juga segelintir yang tergamak menengking dan menjawab suruhan ibu dengan kasar.

Kepada anak2 diluar sana, hormatilah ibubapa anda kerana, anda tidak tahu nasib anda dimasa depan. Semua orang akan tua dan kehidupan ini ibarat roda. Jika hari ini anda membuatkan hati ibu anda luka dan pedih mungkin anda akan menerima nasib yang lebih teruk dimasa hadapan. Allah itu Maha kaya...dia boleh memberi dan menarik nikmatnya bila2 masa sahaja. Lihat sahaja kejadian disekeliling kita, musibah dan penderitaan dimana-mana. Bagi mereka yang buta mata hatinya mereka tidak nampak siksaaan Allah jika mereka melakukan kekufuran, lebih2 lagi jika menderhaka kepada ibu dan ayah.

Bertaubatlah bagi yang telah dan pernah melukakan hati ibu dan ayah, lebih teruk jika selalu membantah dan mengherdik ibubapa. Berdosa besar jika anda lakukan terhadap ibu yang telah penat lelah mengandungkan kamu dan menyabung nyawa untuk memberikan kamu sinar melihat keindahan alam ini. Fikirkan kembali bagaimana tangan ibu membelai kamu dari kecil, menyuapkan kamu makan dan memberikan sepenuh kasih sayangnya yang tidak ternilai.

Kasih ibu tidak pernah luntur walaupun sejahat mana anaknya itu, kasih ibu tetap abadi walaupun sianak sanggup mengguris perasaan ibu sedalam-dalamnya. Itulah keistimewaan insan bernama ibu...yang dijadikan Allah dengan sentuhan kasih sayang dan airmata dari syurga. Ibu insan yang terlalu pemaaf dan sering lupa pada kesengsaraan yang pernah dia lalui. Bagi seorang ibu, anak adalah segala-galanya tapi adakalanya anak hanya mahukan ibu waktu mereka dilanda kesusahan dan kesengsaraan. Waktu gembira seringkali ibu dilupakan.

Namun lembutnya hati ibu adalah suatu sentuhan Allah yang terbaik. Ibu tidak tahu berdendam pada anaknya walaupun seribu kali hati ibu terluka...Ibu tidak mahu melukakan hati anak2nya walaupun hati ibu retak seribu dan parah. Anak2 diluar sana...sayangi dan hargailah Ibu anda sebelum terlambat, ciumlah dia sebelum dia pergi buat selama-lamanya. Sesal dahulu pendapatan sesal kemudiaan tidak berguna. Tiada gunanya meraung jika ibu sudah terkujur kaku. Saat itu tiada yang dapat kamu lakukan selain menangis sepuas-puasnya kerana Allah sudah menutup pintu kemaafan dari seorang ibu.

Peluk dan ciumlah ibu anda bagi yang masih ada ibu, mintalah maaf dari mereka. Sesungguhnya syurga itu dibawah tapak kaki ibu...Insaflah anak2 sekelian.