Monday, December 7, 2009

Mencari Diri Dalam Kekusutan Jiwa


Minggu lepas aku terlantar dihospital. Tiga hari disana, cuma beberapa orang sahaja yang datang melawat. Bukan salah mereka tapi salah aku kerana tidak memberitahu rakan-rakan. Aku mahu bersendirian ketika itu dan tidak mahu menyusahkan rakan-rakan lain. Doktor memberitahu Aku dilanda krisis pertengahan umur yang agak kritikal. Emosi yang tidak stabil, jiwa kacau dan fikiran yang tidak tenteram.

Sejak kebelakangan ini aku menjadi kurang bertenaga dan sentiasa beremosi tidak tentu pasal. Aku banyak membaca mengenai proses monopouse yang melanda wanita seusia aku. Banyak info yang aku perolehi dan ianya sedikit sebanyak mengurangkan beban fikiran aku terhadap proses menjadi tua.

Dalam masa yang sama aku turut mencari diriku yang sebenar yang telah ditenggelami oleh kekusutan jiwa yang parah sejak kebelakangan ini. Aku sering menjadi murung memikirkan permasalahan diri. Namun aku tahu setiap manusia mempunyai masalah. Apa yang penting bagaimana kita menanganinya dan mengawal serta mengurus konflik dalam jiwa kita.

Aku sendiri tidak tahu apa yang aku hendak dalam hidup. Ini kerana segala nya sudah aku miliki, cuma aku sedang mempesiapkan diri untuk kembali pada PENCIPTA ku. Semakin bnayak aku fikirkan tentang hidup ini semakin buntu fikiran. Mujurlah ada beberapa teman sebaya yang sering memberi nasihat tentang hidup ini. Apabila aku bersama mereka barulah aku sedar masalah mereka lebih besar dan kritikal dari aku, tapi ketabahan mereka membuatkan aku menjadi kagum terhadap kemampuan mereka mengawal diri.

Ada teman memberitahu, jangan lawan keadaan, kita ikut sahaja rentaknya, kerana itu semua sudah ketentuan Allah dan Dia yang merencanakan hidup kita. Mereka juga memberitahu agar jangan terlalu memikirkan tentang hidup yang terlalu singkat ini. Well...life is short dear...so make it sweet...enjoy it to the fullest. Itu antara nasihat yang aku perolehi.

Ya aku akui...terlalu memikirkan tentang hidup ini juga akan menyebabkan kita boleh menjadi kurang siuman. Lebih tersiksa jika kita terpaksa berdepan dengan penyakit yang berpunca dari hati dan perasaan yang tidak tenteram. Aku benar2 berdoa, laluan hidup ku menjadi mudah ditahun hadapan. Tinggal tiga minggu lagi kita melangkah ketahun baru. Aku mahukan sesuatu yang lebih menceriakan hidupku ditahun baru ini. Hidup ini memang singkat, dan seperti kata-kata rakan ku...hidup bukan untuk derita. Nikmati ia selagi kita mampu. Terokailah kenikmatan hidup yang Allah berikan, kerana susah senang adalah nikmatNYA dan setiap apa yang berlaku akan memberikan kita pengajaran yang tiada ternilai harganya.Insyaallah aku akan cuba. Semoga Allah memberikan keredhaanNYA. Amin.

Saturday, November 28, 2009

Aku, Dia dan KetentuanNYA







Malam ini aku menghabiskan helaian terakhir dalam buku Quranic Law Of Attraction. Buku ini cukup memberi inspirasi dalam diri ku sewaktu aku tergapai dalam mencari diriku yang sebenar. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini aku sentiasa resah dan gelisah mencari diriku yang sebenarnya.Mencari jawapan pada persoalan yang seringkali memecah tembok jangkauan pemikiran seorang insan.

Kadangkala aku rasa sepi dalam keriuhan, sedih dalam kegembiraan dan duka dalam senyuman. sepanjang setengah abad aku dibumi Allah ini pelbagai peristiwa pahit manis aku lalui. Namun tahun ini ianya terlalu mencabar buat aku. Berbalik pada buku yang menjadi inspirasi ku pada kali ini, aku rasakan suatu kekuatan menjalar disetiap inci tubuh ku setelah selesai membaca buku itu. Aku percaya setiap apa yang kita inginkan akan dimakbulkan Allah. Cuma masa nya sahaja yang menentukan segalanya itu menjadi nyata.

Aku pasrah dan tetap bersabar untuk menunggu saat doaku di makbulkan Allah. seperti kata penulis buku itu:

`latihlah diri untuk bersabar dalam menghadapi apa-apa pun termasuk menghadapi dugaan hidup ini. Ingat kesabaran mengundang kasih sayang Allah. Jika Allah sudah menyayangi diri kita apa juga yang kita kehendaki pasti di makbulkan'

Aku percaya, semua kejadian yang berlaku atas kehendak Allah. DIA yang mengatur segalanya dalam hidup ku. Seperti kata Ibnu Qayyim Al-Jauziyah dalam bukunya Bahagiakan Hatimu:

Setiap apa yang berlaku didunia ini sudah ditentukan Allah. Samada sesuatu itu memberi manafaat atau sebaliknya, kesenangan, mulia atau hina, semuanya itu milik Allah. Seperti yang Allah tegaskan dalam surah Fatir ayat 2

`Apa saja yang Allah anugerahkan kepada manusia berupa rahmat.Tidak ada seorangpun yang dapat menahannya. dan apa saja yang ditahan oleh Allah tidak ada sesiapa pun yang sanggup untuk melepaskannya. Dialah yang sebenarnya yang Maha perkasa lagi Bijaksana'

dalam surah Yunus ayat 107 pula Allah menegaskan:

`Jika Allah menimpakan sesuatu bencana kepadamu,tidak akanada sesiapa yang menghalangnya kecuali DIA. Dan jika Allah berkehendakkan kebaikan bagi kamu, tiada siapa yang dapat menolakNYA.Dia memberika kebaikan itu pada sesiapa yang dikehendakiNYA, diantara hamba-hambaNya. dan Dia lah Maha Pengampun dan Maha Penyayang'
dalam surah Ali Imran Ayat 160 Allah menerangkan lagi:

`Jika Allah mahu menolong kamu, tidak ada sesiapa yang dapat mengalahkan kamu. Jika Allah membiarkan kamu tidak ada sesiapa yang dapat menolong kamu kecuali Allah'

Insyaallah aku akan terus berdoa, bersabar dan yakin bahawa semua yang aku inginkan akan aku dapat suatu hari nanti. Aku perlu belajar menerima semua Qada dan qadar ini dan melaluinya dengan penuh tabah dan tenang. Hidup ini sementara dan tiada apa yang lebih membahagiakan dari mendapat petunjukNya dan kebenaran yang diberi oleh DIA.

Friday, November 6, 2009

Tahun yang Menguji Keimanan dan Ketabahan


Diam tak diam tahun ini akan berakhir sebulan lagi. Begitu cepat masa berlalu meninggalkan kita. Tahun ini ternyata pelbagai peristiwa saya lalui sebagai dugaan dan ujian ketabahan pada diri saya. Kadangkala kita tidak tahu mengapa semua ini terjadi. Dengan tidak disangka-sangka kita melalui saat itu dan terfikir akan kebodohan dan kedangkalan akal fikiran kita dalam menerima semua ini. Namun adakalanya kita tidak dapat mengelak semua yang berlaku. Seperti kata seorang teman saya, Allah akan menguji kita dalam pelbagai bentuk dan cara. Jangan terlalu banyak mempersoalkan urusan DIA.

Tapi kadangkala saya masih bertanya pada diri sendiri mengapa ianya perlu berlaku dan mengapa saya harus melaluinya dan kadangkala rasa seperti tidak logik pada akal fikiran yang waras. Apa2 pun saya terima semua ini dengan redha dan yakin ada hikmah disebalik semua kejadian.

Bagi saya tahun 2009 terlalu banyak peristiwa dalam hidup saya. Ada yang boleh diceritakan dan ada yang tetap menjadi rahsia diri sampai saya menghembuskan nafas terakhir. Bagi saya suka duka 2009 akan berlabuh sebulan lagi. Banyak keazaman baru bersarang dijiwa saya. Namun mampukah saya melaksanakan nya...???? Kuatkah saya menempuh segalanya???

Saya amat takut untuk bersikap takabur, kerana sifat itu amat dibenci Allah. namun apabila berlabuhnya tirai 2009 beberapa checklist keazaman baru ingin saya tunaikan. Antaranya menumpukan pada pengajian Phd saya secara part-time. Seringkali saya bertanya pada diri, mampukah saya lakukan pada usia setengah abad ini, pada kala diri sudah semakin dimamah usia, pada ketika kesihatan sering menduga. Apapun saya selalu berkata pada diri agar bertekad dan berazam untuk meneruskannya meskipun banyak halangan dan rintangan yang bakal ditempuhi.

Dulu saya langsung tidak berminat, menyambung pelajaran di peringkat Phd. Bagi saya sudah memadai apa yang saya ada pada masa sekarang dan lebih selesa mengajar dan menghabiskan masa dengan menulis yang sememangnya hobi saya sejak dibangku sekolah lagi. Tiba2 satu peristiwa berlaku dalam hidup saya. Saya tidak pernah kesal itu semua tapi saya mahu membuat sesuatu yang membolehkan saya meningkatkan kembali self esteem saya dan menjadi diri saya yang sebenar. Peristiwa itu benar2 menguji saya dan saya selalu berdoa agar ianya tak pernah berlaku. Tapi seperti yang saya katakan tadi, itu semua kehendak Yang Maha Kuasa. Kita tidak mampu menepisnya bila DIA memilih kita untuk melalui dugaanNYA

Ya...saya mahu menjadi diri saya yang sebenar dalam ertikata yang amat mendalam dan bukan menjadi hipokrat. Hari berganti hari, masa terus berlalu dengan pantas. Usia semakin meningkat dan hidup semakin singkat. Doa saya agar tahun 2010 nanti membawa perubahan dalam diri saya dan segala yang berlaku memberi hikmah untuk memperbaiki kelemahan diri saya. Itulah secebis doa yang saya panjatkan kepada Ilahi kerana memberi dugaan ini untuk saya tempuhi. Semoga saya terus tabah....insyaalah.

Wednesday, July 8, 2009

Perginya seorang teman lama.

Sabtu 4 July, saya dikejutkan dengan suatu berita sedih tentang seorang rakan saya yang telah kembali kerahmahtullah. Dia baru berusia 47 tahun. Entah mengapa tahun ini saya kehilangan ramai teman2 dan saudara mara yang saya kasihi. Dalam usia setengah abad ini kehilangan rakan demi rakan seakan petanda bahawa saya juga akan melalui saat, tapi entah bila saya sndiri tidak tahu.

Saya menghitung hari2 kehidupan yang ternyata begitu pantas berlalu. Masih banyak yang belum saya lakukan dan masih banyak tugas yang tidak dihabiskan mengikut jadual. Sebagai manusia kita boleh merancang tapi Allah yang menentukan segalanya. Dikamar tingkat lima di Fakulti menyimpan pelbagai suka duka kehidupan saya bersama pelajar dan liku2 kehidupan yang banyak mengajar erti ketabahan dan kesabaran dalam hidup ini.

Dalam menjalani kehidupan adakalanya kita menyinggung perasaan orang lain, adakalanya kita tersinggung dan sering berkecil hati. Tapi saya percaya jika kita kembali kepada siapa diri kita yang sebenarnya, insyaalah sikap sombong ego dan tinggi diri akan dapat kita atasi dengan mudah. Pada saya hidup ini adalah satu perjalanan yang sangat jauh, rumit dan penuh berliku. Destinasi terakhir kita adalah kematian....dan apabila kita sudah menutup mata untuk berjumpa Pencipta kita...disitulah baru bermulanya satu kehidupan yang sebenar-benarnya. Kehidupan yang kekal dan kehidupan yang kita sendiri tidak dapat memikirkan keadaannya.

Justru menjadi insan didunia yang hanya dipinjamkan Allah kepada kita, seharusnya kita mengkaji tentang siapa diri kita dan apa tujuan hidup ini. Mencari matlamat akhir dalam kehidupan adalah kemuncak kepada pelbagai persoalan yang bersarang dalam diri. Kepada semua maaf saya pinta kerana kita tidak tahu hari ini mungkin hari terakhir kita senyum pada rakan, kita peluk anak2 kita, kita cium orang2 yang kita sayang, mungkin esok kita tidak ada lagi didunia ini. Mati itu satu kepastian, dari itu sentiasalah menaburkan kebahagian kepada mereka yang dekat dan mereka yang menyayangi kita. Jangan terlewat berbuat sesuatu sehingga apabila tiba saatnya kita menyesal kerana segalanya tidak kesampaian.

Friday, June 26, 2009

Diam dalam pencarian DIRI....




Banyak perkara yang mengetuk minda saya sejak kebelakangan ini. Paling terkesan ialah saya ingin mengenal diri saya sendiri, mencari jalan pulang dan meneroka CINTA kepadaNYA yang sering menjadi tandatanya dalam hidup saya. Tiba2 hati saya tergerak mencari sesuatu yang pernah hadir dalam hidup saya tetapi telah hilang kerana kealpaan dan kesibukan diri. Siapa Aku dan apa tujuan Aku hidup dan pelbagai persoalan lagi yang terus bersarang dalam kotak minda ini. Banyak misteri yang tidak terjawab dan saya sedang mencari dan mencari. Semoga suatu hari sinar itu hadir dalam hidup saya. Lirik lagu M Masir ini begitu bermakna. Saya hayati liriknya dan ternyata suatu jawapan ada tersirat disebalik lirik ini.....



Di Sebalik cermin Mimpi (M Nasir)


Di balik cermin mimpi
Aku melihat engkau
Di dalam engkau
Aku melihat aku
Ternyata kita adalah sama
Di arena mimpi yang penuh bermakna

Bila bulan bersatu dengan mentari
Bayang-bayang ku hilang
Di selebungi kerdip nurani
Mencurah kasih, kasih murni
Mencurah kasih

Di balik cermin, cermin mimpi
Adalah realiti yang tidak kita sedari
Hanya keyakinan dapat merestui
Hakikat cinta yang sejati
Hakikat cinta yang sejati

Dengan tersingkapnya tabir siang
Wajah kita jelas terbayang
Dan terpecah cermin mimpi
Menjadi sinar pelangi
Pelangi

Selamat Jalan Kak Lia, Semoga Roh mu ditempatkan bersama Orang yang Beriman

Lama juga saya tidak berbicara dalam blog ini. Ada kira-kira lima bulan saya tidak menjengok blog, kerana kesuntukan masa mengajar dan pelbagai masalah keluarga yang harus dibereskan. Dalam masa lima bulan ini banyak perkara yang terjadi. Kakak Ipar saya yang menghidap kanser payudara telah kembali kerahmatullah dalam usia muda 47 tahun.

Isteri Abang Long saya ini adalah seorang wanita yang cukup baik, rajin dan disenangi ibu saya. Malah Ibu selalu mengatakan bahawa, menantu contoh adalah arwah Kak Lia. Arwah adalah antara ipar yang paling rapat dengan saya. Seminggu sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir, saya kerap menjenguk beliau dengan keadaannya yang sungguh menyedihkan. Saya tidak tergamak melihat keganasan kanser payudaranya yang terus merebak sehingga menyebabkan tubuh badannya bernanah dan sungguh menyiksakan.

Antara kata-kata arwah yang paling saya ingati ialah...Ti..engkau bagilah semangat yang ada dalam diri kau tu supaya aku dapat terus melawan penyakit ini, sambil memeluk saya dan menangis. Saya terlalu sedih ketika itu dan tidak boleh berkata apa-apa. Hati saya hancur melihat penderitaannya. ya setahun setengah dia bertarung untuk hidup, tetapi Allah lebih menyayanginya.

Setelah arwah menghembuskan nafas terakhir, barulah kami sekeluarga melihat dia tenang dengan wajahnya seakan tidur. Selama setahun setengah arwah tidak dapat tidur lena, setiap kali hendak tidur dengan cara duduk sahaja. makanan pun sudah tidak boleh ditelannya. Begitulah dugaan Allah bagi seorang wanita yang baik dan taat pada suaminya. Setiap kali selepas solat saya sentiasa mendoakan beliau diberikan umur yang lebih panjang untuk melihat anak2nya habis belajar dan berkahwin, tapi semuanya ini sudah tertulis dan kita tidak mampu menahan takdir Allah.
S
ebagai seorang yang rapat dengan arwah, saya dan beberapa saudara mara yang lain menguruskan jenazah dengan memandikan dan mengkafankan arwah. Itulah bakti terakhir saya kepada arwah kerana saya memang biasa memandikan dan mengkafankan arwah kedua2 nenek saya sebelum ini. Ketika memandikan jenazah saya sentuh arwah perlahan-lahan, saya tirus air dengan penuh kasih sayang pada arwah. Saya bersihkan keseluruh tubuh arwah dengan berhati-hati kerana melihat keadaannya sudah dapat digambarkan siksaan arwah semasa didunia dan ketika nyawanya diambil. Saya menahan airmata ketika menyempurnakan bakti terakhir saya kepada beliau. Setelah siap segalanya saya ucapkan selamat tinggal pada kakak ipar saya yang sangat saya sayangi dan cukup memahami jiwa dan perasaan saya dri muda sampai saat akhir arwah pergi.

Biarpun arwah lebih muda dari saya, tetapi dia adalah ibarat kakak saya sendiri. Semoga Allah mencucuri Rahmat keatas roh mu Norliah Ahmad....pesanan supaya saya menjaga anak2nya akan saya tunaikan, selain itu saya juga akan menjadi orang paling rapat dengan Abang Long setelah ketiadaan Arwah...kerana Abang saya itu telah banyak bekorban untuk saya dan keluarga sewaktu kami susah dulu.

Tuesday, February 17, 2009

Ketentuan Hidup Bukan Milik kita

Hari ini aku dan emak berbincang mengenai Kak Long. Kami sama-sama risau mengenai masa depan kak Long. Aku tidak pernah terfikir mendapat dugaan seumpama ini. Tiap2 hari aku tidak putus2 berdoa Kak Long menjadi lebih rasional dan mendapat kebahgiaan hidup yang dia cari selama ini. namun semakin hari Kak Long masih tidak banyak berubah. Walaupun aku dan emak sentiasa bersama dia dan menasihati dia, namun bagaikan mencurah air kedaun keladi Kak Long tak pernah ambil pusing pada semua itu.

Setiap hari rutinnya tetap sama. Terperuk didalam bilik, membuat kerja2 yang tidak berfaedah. Tidak mahu bercakap dengan sesiapapun. Keluar makan hanya apabila semua orang sudah tidur dan tidak mahu langsung bersosial dengan sesiapa. Dalam usia 27 tahun pastinya sudah banyak yang boleh dilakukan mereka yang sebaya dengan Kak Long. Tapi hidup Kak Long masih seperti itu, aku pening memikirkan dirinya.

Pagi tadi, emak menasihatkan aku agar menerima takdir ini sebagai satu dugaan Allah pada diriku. Emak dan aku berharap dia akan berubah. Apa yang aku tidak boleh terima ialah, kak long dilahirkan normal, punya kebijaksanaan yang luar biasa, sering mendapat keputusan baik ketika belajar dan adalah graduan lulusan Ijazah sarja Muda Software Enginering. Tapi hari ini Kak Long tak ubah seperti budak berumur 7 tahun yang tidak tahu banyak perkara dalam hidup termasuk menyelesaikan masalah kecil. Aku sudah habis ikhtiar untuk mengetahui apa sebenarnya yang mengganggu perasaan kak Long. Aku banyak menyalahkan diriku dalam hal ini. Tapi mak tidak suka aku meletakkan kesilapan ini atas bahuku kerana bagi mak kita perlu mencari jawapan kepada persoalan masalaah yang membelenggu jiwa kak Long dan bukannya menyalahkan diri sendiri.

Mak dan arwah ayah dulu pernah bimbangkan masa depan seorang adik aku yang kurang bijak atau dengan kata lain lembab. Adik aku ini adalah mangsa buli dan senag diperdaya oleh sesiapa kerana sikapnya yang terlalu baik dan kurang bijak. Arwah ayah pernah berkata, masa depan seseorang sukar diramalkan,dan bukan kita yang tentukan semua itu. Jangan kita memandang rendah pada seseorang hanya kerana dia bodoh dan kurang bijak. Allah Maha Mengetahu apa yang dilakukan, jadi berserah sahaja dan pada masa yang sama teruskan usaha.

Adik aku sekarang punya masa depan yang baik walaupun bekerja sebagai pemandu, tapi dia bahagia dengan keluarga dan anak2nya. Memang tiada siapa yang sangka adik aku itu boleh menjadi seorang yang normal jika kita lihat keadaannya masa kecil dulu. Aku masih ingat ramai yang berfikiran negatif terhadap adik aku itu sehingga ada yang tergamak berkata, siapa yang nak bela orang bodoh macam tu, saudara mara pun akan lari dan tak nak susahkan diri nak menjaga orang lembab seperti dia.

Arwah ayah aku tak pernah berputus asa, banyak perkara yang dilakukan untuk memastikan adik dapat menjalani kehidupan secara normal walaupun dia dari kategori `lembam' atau lembab. Malangnya usia ayah tak panjang, belumpun mencapai usia 60 tahun ayah meninggalkan kami adik beradik dan ibu yang ketika itu sakit lumpuh ( lemah kaki). Adik nampak seperti tidak punya perasaan sewaktu jenazah ayah dibawa ketanah perkuburan. namun aku masih ingat adik bagaikan kehilangan sesuatu bila keadaannya semakin nampak tidak terkawal apabila arwah ayah meninggal dunia. Sat itu emaklah orang yang paling sedih sebab keadaan dia yang kurang sihat dan adik yang memerlukan perhatian.

Namun emak cukup tabah melalui dugaan ini. Sebagai anak perempuan sulung aku cukup memahami perasaan mak ketika itu. Aku turut gusar tentang masa depan adik. Namun seperti kata pepatah ` kita merancang Allah yang menentukan segalanya' Aku bangga dengan adik ku sekarang, walaupun jawatannya hanya sebagai pemandu, semua perkara dalam hidup dia tahu melakukan dengan baik. Dia seorang suami dan ayah yang bertanggung jawab dan tidak pernah menyusahkan hidup adik beradik yang lain.

Melihat apa yang berlaku pada adik aku teringat kata2 arwah ayahku bahawa nasib seseorang bukan boleh kita ramalkan. Apa yang terjadi banyak hikmahnya. Sebagai manusia kita harus terus berusaha dan selebihnya serahkan pada Allah.

Berbalik pada kisah kak long pula, dia adalah sebuah kisah yang agak berlawanan jika dibandingkan dengan kisah adik. Kak Long bijak, petah dan pada usia tiga tahun kak Long dan boleh mengira dan sudah menunjukkan ciri-ciri bijak. Dia dipuji semua ahli keluarga kerana kebijaksaaannya dalam akademik. Sering mendapat hadiah terbaik dalam pelajaran. Malah kak long adalah pendorong adik2 yang lain menjadi bijak dan kak Long juga menjadi satu2nya cucu emak yang paling menonjol dalam akademik.

Semasa kecil kak Long sering dijadikan contoh oleh sepupu-sepupunya yang lain untuk sama-sama mencapai prestasi baik dalam pelajaran. Pendekkata kak long contoh terbaik untuk saudara mara yang lain dan menjadi kebanggaan keluarga. Tapi sekarang perkara sebaliknya berlaku. Aku juga tidak tahu dimana silapnya. Puas mencari jawapan namun belum aku temui.

Aku rasa sedih bila aku dapat tahu Kak Long sering menyalahkan aku dalam keadaan dia jadi begitu. kak long cakap akulah punca dia jadi begitu. Ya aku akui adakalanya aku terlalu bersikap mendesak, tapi aku tidak pernah memaksa yang keterlalu jika dia tidak mahu meneruskan sesuatu yang dia tidak suka. Aku sedih bila adiknya memberitahu, kak Long sudah tisak mahu lagi mendengar apa juga nasihat dari aku kerana aku menambah tekana dalam hidupnya.

Aku terus mencari dan mencari dimana silapnya. Tapi masih buntu dalam menghitung kesilapan diri. Paling aku sedih, bukan sahaja kak Long yang menyalahkan aku malah ahli keluaga lain turut memberi pendapat dengan mengatakan akulah punca kak long menjadi sebegitu. Ada juga yang mengatakan aku harus redha dengan balasan Allah pada ku . Jika tidak kerana kesabaran yang sangat tinggi aku miliki sudah lama aku juga dihantar ke hospital sakit mental.Aku cuma fikirkan emak sahaja. Aku tidak mahu terus berasa tertekan kerana aku pasti ini satu-satunya dugaan Allah buatku. ya...aku harus kuat berhadapan dengan segalanya. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul'

Aku sudah berjanji akan bersama-sama dengan mak dalam keadaan susah dan senang sehingga salah seorang dari kami menghembuskan nafas terakhir. Emak juga sentiasa menasihatkan aku mencari jalan mengubati kak Long. Kami tidak akan berputus asa. Aku rela dipersalahkan namun aku tidak akan patah semangat untuk membantu kak long menjadi dirinya kembali. Mana mungkin aku boleh membenci darah dagingku sendiri, mana mungkin aku boleh melupakan saat getir melahirkan kak long membesarkan dia dengan tanganku dan membelai dia saban hari.

Biarpun adakalanya kak Long mengeluarkan kata2 yang sungguh menyakitkan hati ku aku terima dengan redha, aku tahu dia dalam keadaan yang kurang stabil, tapi aku terus berharap suatu hari nanti aku akan dibelai oleh Kak Long sebagaimana aku membelainya sewaktu dia kecil dulu. Meskipun itu hanya harapan dan mimpi indah namun aku tidak pernah putus harap bahawa saat indah seumpama itu akan aku kecapi sebelum aku pergi buat selama-lamanya.

Antara Karenah Manusia, Kesengsaraan dan Perasaan

Tiga hari dua malam berkampung di rumah Anak2 yatim di Sabak Bernam menyedarkan diri tentang kehidupan yang sentiasa diuji, karenah anak-anak didik dan perasaan mereka yang kehilangan kasih sayang membuatkan minda berputar berfikir. Episod airmata, senaman poco-poco, sesi motivasi, makan ala kampung, barbeque dan nyayian merdu mengegar suasana Pertubuhan Anak2 Yatim dan Miskin, Sungai Burung, Sabak Bernam. Semuanya ini terlakar indah dalam sebuah kisah penuh warna warni dalam waktu yang sungguh singkat dan padat.

Hari Jumaat 13 Februari adalah hari yang dinantikan oleh 70 pelajar Komunikasi dan Media UiTM. Mereka menaiki dua buah bas untuk sampai kedestinasi yang dituju. Aku pula memandu kereta UNSER kesayangan ku memulakan perjalanan bersama empat pelajar UiTM, Ain, Nadia, Azlan, Mereka adalah pelajar di dalam bidang Komunikasi dan Media manakala Fadhil dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal membantu menjadi pengendali majlis kerohanian.

Kedatangan ku disambut mesra beberapa pelajar Masscomm yang telah tiba lebih awal. Kelihatan mereka agak gembira brlari menuju ke surau untuk menunaikan solat maghrib.
Sejuk hati melihat pelajar masscomm yang begitu sinonim dengan sikap `happening' dan `sosial' begitu tekun dan bersemangat ke surau. Sebagai pensyarah aku sering menganggap pelajar-pelajarku umpama anak2 ku sendiri. Mereka adalah harapan bangsa dan ditangan pensyarah terletak masa depan mereka.

Menyentuh mengenai projek ini, mereka begitu gembira bila mendapat tahu kerja kursus untuk Interpersonal kali ini ialah menyelami kehidupan anak2 yatim untuk tiga hari dua malam. ramai yang ingin merasakan suatu pengalaman baru tinggal bersama anak2 yatim dan miskin.

Sebulan sebelum aktiviti dijalankan, mereka sudah begitu bersemangat membuat persiapan untuk kerumah anak2 yatim. Antaranya termasuklah mengutip derma, menubuhkan biro2 tertentu dalam program dan merancang aktiviti. Mereka sememangnya sungguh bersemangat dan membuatkan aku cukup berbangga dengan segala persiapan awal aktiviti.

Kehadiran seramai 70 pelajar ku menceriakan suasana rumah anak2 yatim yang terletak di kawasan perkampungan yang tenang dan damai.Segala perancangan berjalan lancar walaupun ada satu dua aktiviti yang lari dari perancangannya. Secara keseluruhan pengisian rohani sedikit sebanyak memberikan impak pada pelajar ku. Mungkin tidak seratus peratus kesan nya menjalar pada tubuh mereka tapi cukuplah sekadar menginsafkan walau seketika. Rasanya sudah cukup berpuas hati melihat kesopanan dan keayuan gadis2 masscom yang umpama `pencarian gadis Melayu' memasak, mengukur kelapa dan bergotong royong membersihkan kediaaman berkenaan.

Malam kebudayaan mencungkil bakat anak2 yatim yang bijak menyanyi tapi perasaan mereka begitu halus dan mudah tersentuh dengan kesedihan menyebabkan malam itu ramai juga pelajar yang turut mengalirkan air mata mendengar suara sayu adik2 berkenaan menyayikan lagu Ibu dan Doa perpisahan. Terasa pilu dan sayunya bila adik2 berkenaan menyanyikan lagu2 yang memuji ibu dan menghargai pengorbanan ibu berkumandang di dewan makan asrama berkenaan.

Aku turut tersentuh dengan nyanyian dan linangan airmata anak2 kecil yang sudah kehilangan orang tersayang. Secara tiba2 aku teringatkan anak2 dirumah yang dibesarkan dengan serba kemewahan dan sungguh bertuah kerana masih mempunyai ibu dan ayah. Kesengsaraan mereka (anak2 yatim) tidak dirasakan oleh anak2 ku...ah betapa bertuahnya anak2ku...itu bisik hati kecil ku...tanpa aku sedari airmata meluncur laju membasahi pipi. Aku tiba2 rasa malu untuk mengesat airmata. Aku bimbang pelajar2 ku melihat aku menangis. Aku cuba untuk menahan curahan air mata namun semakin kutahan semakin deras ianya melimpah dari kelopak mata.

Sedang mata bergenang air, Hakim salah seorang pelajar ku menghulurkan tisu. Tidak aku tahu apa motif sebenarnya beliau menghulurkan tisu berkenaan, namun aku pasti dia perasan aku sedang menangis.Malam itu aku banyak berfikir tentang kehidupan tentang kesengsaraan, perasaan dan destinasi kehidupan.

Sememangnya kehidupan ini amat sukar untuk diramalkan. hanya Allah yang mengetahui nasib kita. Ditangan Allah terletak Qada' dan Qadar yang sudah ditakdirkan sebagai jalan hidup kita. Jika ketentuannya sudah begitu rupa segalanya tidak dapat kita elak lagi, redhalah atas segala yang terjadi. Dalam mengenang nasib dan ketentuan, aku masih memohon pada Allah dan tidak pernah jemu berdoa supaya kak Long menjadi dirnya yang sebenar...itulah doa seorang ibu yang tidak pernah putus melainkan diri ini sudah tidak bernyawa lagi.

Sesungguhnya perkampungan tiga hari dua malam itu mencungkil banyak rahsia sikap pelajar, karenah kemanusiaan, perasaan dan keinsafan.....

Saturday, January 24, 2009

Perasaan Hasad Dengki (PHD) dan Kemanusiaan

Dimanapun kita berada orang yang ada PHD (Perasaan Hasad Dengki) dan manusia yang suka berpura-pura ini sentiasa ada disekeliling kita. Mereka ini tidak senang dengan kebahagiaan orang lain. Ada saja perkara yang hendak diganggunya sehingga mangsa nya akan jatuh tersungkur dan dikala itu terasa diri mereka hebat kerana berjaya menjalankan satu misi kehancuran jiwa dan semangat orang lain.

Mereka lebih suka kedamaian ditukar menjadi jiwa kacau yang merobek kemanusiaan. Mereka lebih suka mengkritik dibelakang dari bersemuka dengan orang yang di lemparkan tuduhan tidak berasas. Seperti kata pepatah, lempar batu sorok tangan

Di Universiti, spesis seperti ini tidak terkecuali, walaupun pada zahirnya mereka ini manusia2 yang tinggi pendidikan dan luas pengetahuan tapi dalam jiwa dan spiritual mereka masih kosong. Sayang sekali sekeping hati bersih yang dianugerahkan Allah sewaktu lahir kedunia sudah bertukar hitam dan busuk umpama najis dan pekong. Bersandarkan hidup bagai virus yang cepat merebak, merosak jiwa dan meruntuh kesabaran manusia lain, mereka ini bangga jika ada insan menderita akibat perbuatan mereka. Namun yang menariknya manusia seperti ini sukar dikenalpasti. Mereka sering berselindung disebalik kemanisan kata-kata, keayuan wajah dan kelembutan bicara. Mereka ini ibarat sumpah-sumpah yang boleh menukar warna dalam keadaan tertentu. Begitulah liciknya mereka ini.

Justru sukar bagi kita mencari siapa kawan siapa seteru. Mereka nampak sama tapi tidak serupa. Kadangkala pernahkah kita terfikir, mengapalah mereka tanpa ada sebab mengacau hidup orang lain sedangkan orang lain tidak pernah mengganggu hidup mereka.

Apa motif dan agenda sebenar dalam menjalankan `modus operandi' yang bertopengkan pendidikan sambil mengagungkan kualiti bila matlamatnya hanya mahu menjatuhkan seseorang. Apalah salahnya kita terima idea yang membangun, bersama-sama berkongsi ilmu mendidik pelajar dan memberi yang terbaik untuk anak bangsa kita. Tidak perlu rasanya bersaing untuk menegakkan kebenaran. Banyak lagi perkara yang perlu diselesaikan.

Sebagai pendidik kita adalah harapan pelajar2 kita. Mereka bergantung harap kepada tenaga pengajar untuk mencorakkan masa depan mereka. Jika tenaga pengajar sendiri sudah tidak sepakat, apakah lagi pelajarnya. Mereka pasti bingung dan seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan betul sudah pasti anak2 ketam akan jalan terkengkang-kengkang kerana mereka `confius' pada ajaran yang diterima dan tauladan yang betul.

Menyentuh kembali mengenai dimana silapnya, sikap ego antara punca tiadanya jalan penyelesaian.Maalumlah mereka dikalangan cendekiawan dan sudah pasti merasa tercabar dengan kebijaksanaan mereka bila sesuatu perubahan mahu diperkenalkan. Banyak masa terbuang bila kita asyik mencari kesalahan dan kesilapan orang lain, serta saling tuduh menuduh dan tidak mahu berkompromi.Tak salah rasanyanya guna pakai idea baru serta pendedahan baru. Kadangkala kita lebih suka merumitkan sesuatu yang mudah. Seperti kata Confucius Life is really simple, but we insist on making it complicated".

Pelajar sekarang bukan seperti pelajar 30 tahun dulu. Mereka bijak menilai dan kreatif dalam semua bidang. Apalah sangat ANUGERAH KUALITI jika implimentasinya tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya. Ya...kadang kala sesuatu polisi dan peraturan itu hanya cantik di kertas tapi sukar diimplimentasikan. Jangan terlalu rigid dalam pemikiran, ianya menyekat perkembangan dan kreativiti minda.

Namun demikian, rasanya lebih malang lagi, bila kita punyai sistem baru, polisi baru tapi cara pemikiran dan cara melaksanakan sesuatu kerja kita masih ditakuk lama. Akibatnya berlakunya percanggahan dalam sistem kerja dan kecekapan dari segi pelaksanaannya. Bila semua ini berlaku dan sistem menjadi tidak terurus, Siapakah yang menjadi mangsa??? Pelajar dan generasi masa depan kita juga yang mendapat tempiasnya.

Sebenarnya dalam soal ini ramai orang lebih bijak bercakap dari mempraktikkannya. Segelintirnya hanya datang bekerja semata-mata kerana gaji dan bukannya kerana tanggungjawab dan amanah yang dipikul sebagai pendidik. Mereka tiada `passion' atau minat yang mendalam terhadap kerjaya mereka. Akibatnya kelas dan kuliah hanya satu transit dalam hidup kerana mereka ada kepentingan lain yang lebih bersikap personal. Sekali lagi pelajar menjadi mangsa keadaan. Bila pelajar gagal dalam peperiksaan ada yang menuduh pelajar bodoh....tapi hakikatnya pensyarah yang bodoh mengajar.

Sehubungan itu renung-renungkan lah bersama. Jangan sewenang-wenangnya menuduh seseorang itu tidak layak mengajar satu2 subjek itu hanya kerana perubahan dan pendekatan baru yang dibawanya bercanggah dengan silibus yang di buat.Kita boleh mengubah dan menyesuaikan silibus dalam keadaan tertentu mengikut perkembangan dan keperluan semasa. Jangan jadikan masalah tidak ikut silibus satu isu kerana sepatutnya diperingkat ini kajian harus dilakukan untuk mengenalpasti mengapa perlu pendekatan baru dalam pendidikan dan cara apakah yang terbaik untuk melahirkan insan berilmu dan bertaqwa sebagaimana inspirasi Universiti kita.

Akhir sekali jangan ikut sedap mulut sahaja menuduh sipolan dan sipolan hanya tahu mengajar event sahaja tanpa menerapkan unsur ilmu dalam setiap kelasnya. Anda tidak tahu apa yang pelajar tahu kerana anda hanya membuat andaian dari luar sahaja. Justru, never judge a book by its cover, Jangan menuduh tanpa usul periksa. Kelayakan dan kebolehan kita semua adalah sama. Jika tidak masakan kita semua berada disebuah Fakulti yang cukup disegani ini.Masing-masing ada keistimewaan tersendiri dan ciri2 inilah yang membuatkan kita semua amat unik dimata setiap pelajar. Mungkin yang membezakan kita hanya cara penampilan dan pembawakan diri (how U carry yourself)

Justru, fahami ayat2 dibawah ini , ianya menyentuh mengenai perubahan dan tindakan.

" It takes a lot of courage to release the familiar and seemingly secure, to embrace the new. But there is no real security in what is no longer meaningful. There is more security in the adventurous and exciting, for in movement there is life, and in change there is power"

Alan Cohen

Monday, January 19, 2009

Buat Baik Berpada-pada.


Pepatah ini banyak mengingatkan saya tentang diri saya sendiri. Kehidupan sebagai pensyarah tidak lari dari pelbagai kontroversi dan spekulasi. Bukan merasakan diri `Diva' atau artis. Tapi hakikatnya menjadi pensyarah yang begitu mesra dengan pelajar dan memahami jiwa pelajar secara tidak langsung menyebabkan ada segelintir yang cuba mengambil kesempatan. Jika dikira melalui peratusnya mungkin tidak ramai. Tapi ianya sudah cukup mengguris perasaan dan menukar mood pembelajaran jika ianya berlaku.

Secara jujur saya sememangnya bersifat sungguh peramah, mengambil berat tentang pelajar dan sanggup meluangkan masa mendengar permasalahan pelajar diluar waktu kuliah. Itu adalah sifat semulajadi saya sejak kecil dan saya lakukan demi minat yang mendalam dalam bidang ini dan merasakan saya boleh membantu pelajar meringankan beban pemikiran mereka apabila sesuatu kemelut yang melanda jiwa mereka perlu diselesaikan dengan meluahkan pada seseorang yang boleh mereka percaya. Saya juga bertindak sebagai kaunselor dan ibu kepada mereka.

Saya akui saya pendengar yang baik, mungkin hasil didikan ibubapa saya kerana saya anak perempuan sulung dari 10 orang adik beradik yang punya pelbagai karenah. Namun tidak dapat dinafikan manusia2 yang mengambil kesempatan ini ada dimana-mana. Walaupun mereka ini masih bergelar pelajar, seni mencari kesempatan ini sudah mula tumbuh dalam diri mereka. Mereka mungkin bijak memainkan peranan, melihat kelemahan saya disudut itu dan membuat `modus operandi' tertentu bagi menjayakan hasrat mereka.

Saya akui mereka bijak mengatur strateg, adakalanya saya juga tertipu dengan drama swata mereka...tapi seperti kata pepatah` sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ketanah juga' dan pepatah Inggeris mengatakan ` The truth prevail'

Kadangkala pelajar lupa dalam usia setengah abab begini saya dah lalui banyak perkara dalam hidup ini. Asam garam kehidupan ini telah saya rasakan dan hasilnya saya sampai ketahap ini. Segala muslihat mereka sudah boleh saya baca dan seperti kata pepatah ` sekilas ikan di air sudah ku tahu jantan betinanya'.

Sepuluh tahun yang lalu ketika mula2 mengajar dan meninggalkan organisasi media, saya kurang arif dengan senario pendidikan. Tapi kini banyak perkara sudah saya pelajari terutama tipu muslihat pelajar dalam proses pendidikan di IPTA. Saya belajar dari pengalaman masa lalu. Diawal pembabitan dalam bidang ini perasaan saya pernah terluka namun iktibar dari beberapa peristiwa menjadikan saya lebih kuat dan lebih bersemangat berhadapan dengan karenah pelajar. Saya melihat perkara itu sebagai satu cabaran dan ianya terus mengajar saya menjadi lebih tabah.

Saya pernah mendapat komen dari pelajar yang mengatakan saya sudah mula tegas dan kurang berlembut berbanding semester sebelumnya. Saya akui kebenarannya. Tapi cuba anda bayangkan situasi saya untuk mengawal 70 pelajar dalam satu kelas yang pelbagai karenah serta ada enam kelas lagi yang perlu saya kendalikan sepanjang minggu. saya perlu memainkan peranan saya dengan baik agar pelajar terus menghormati saya dan tidak `memijak kepala' bila saya terlalu berlembut dan bersikap keibuan

Saya tahu pelajar suka menyertai kelas saya kerana ramai berpendapat pendekatan saya berbeza daripada pensyarah2 lain. Saya suka yang santai dan lebih mudah mendapat ilmu jika kita seronok dalam mendalami sesuatu ilmu itu. saya suka menjalankan aktiviti luar yang mencabar minda dan fizikal. Sebagai bakal orang media pelajar seharusnya didedahkan dengan aktiviti yang lebih menekankan pada keyakinan diri dan pergaulan dengan masyarakat. Mereka juga harus diberikan kursus `interpersonal' yang baik agar tahu berkomunikasi dalam situasi tertentu serta semangat kerja berkumpulan yang mantap dapat dilaksanakan dengan baik bila keluar bekerja. Semua ini ada dalam kelas saya termasuk mempelajari teori sesuatu pelajaran itu. Gabungan teori dan praktikal inilah yang membuatkan pelajar berasa seronok dalam kelas saya.

Suatu yang saya kurang jelas ialah mengenai subjek elektif saya yang menjadi pilihan mereka. Bole dikatakan mereka sanggup berasak-asak dan berebut-rebut untuk mendapatkan kelas saya. Tapi bila sudah mendapat tempat dikelas saya, ada segelintirnya kembali pada sikap lama yang malas datang kelas, malas datang aktiviti yang saya anjurkan dan membuat tugasan sambil lewa.

Saya bertanya pada diri sendiri, apa sebenarnya motif mereka. Adakah sekadar mencari hiburan dalam kelas `Ratu Event' atau sekadar beranggapan A dalam tangan walaupun mereka tidak berusaha gigih.

Buat semua yang mempunyai hidden agenda, ingin saya memperingatkan anda A is not a gift anda perlu berusaha kuat untuk mendapatkan A. bagi kelas Com & Change ada 135 orang pelajar yang harus bersaing sesama sendiri untuk mendapat habuan A diakhir semester nanti. Kelas Interpersonal 63 orang dan kelas Writing ada 80 pelajar.

Oleh itu nasihat saya, tidak semudah yang disangkakan dan jangan ada yang terperanjat melihat `the unexpected result' yang akan kamu dapat. Ramai pelajar lupa selain kebijaksanaan, tingkah laku atau attitude anda juga amat penting untuk memancing A dari seorang pensyarah. Itulah yang terjadi pada semester lalu apabila ada pelajar yang tidak puas hati dengan keputusan mereka. Rungutan demi rungutan saya dengar dan bagi saya itu rezeki masing2. Apa2 pun tanya diri anda dulu, adakah anda sudah penuhi semua syarat2 untuk mendapat A dari saya atau anda rasa anda lebih bagus dari saya?

Berbalik pada kisah buat baik berpada-pada ni....saya sudah masak dengan perangai segelintir pelajar yang hanya mengenali saya waktu menjadi pensyarah kelas mereka. Apabila saya tidak lagi mengajar mereka memori terhadap saya di hapuskan begitu saja. Tidak hairanlah ada students yang tidak mengenali saya walaupun saya sendiri boleh mengecam wajah mereka dan adakalanya nama mereka masih segar dalam ingatan saya. Memang ini nampak sebagai satu senario yang pelik. Tapi itulah realitinya. Manusia ini tidak sama perangainya. Saya akuinya.

Oleh yang demikian, proses belajar bukanlah sekadar lulus periksa sahaja. Di Universiti anda belajar pelbagai perkara, selain ilmu atau kursus yang anda ceburi anda juga belajar berinteraksi, adab sopan, berdisiplin, saling hormat menghormati dan mengamalkan akhlak mulia. Amatlah sedih jika anda menggelar diri anda sebagai Mahasiswa Universiti tetapi dari segi sikap dan akhlak tidak banyak bezanya dengan mat rempit dan mereka yang tidak bermoral.

Sudah tiba masanya mahasiswa Universiti mempunyai sikap yang terpuji kerana masyarakat memandang tinggi ilmu yang ada pada mereka selain menjadi masyarakat terpilih untuk mendpat tempat disebuah menara impian setiap insan sejak dibangku sekolah lagi. Nasihat saya pada semua pelajar di luar sana ` Jangan terlalu leka mengutip pasir dipantai sehingga lupa seketul intan dihadapan kamu' Hargai pensyarah2 kamu dan mereka yang memberi ilmu pada kamu. Sesungguhnya restu seorang ibu guru itu menyamai restu ibu kandung kamu sendiri.

Friday, January 2, 2009

2009 dan harapan seorang Ibu...



Tersingkapnya tirai 2009, mengharap sebuah ketenangan dan kebahagiaan yang berpanjangan. Semoga 2009 membawa sinar baru dalam hidup anak2...terutamanya Kak Long. Mudah2an nasib menyebelahi kak Long dan dia akan sama2 berjaya seperti adik2nya yang lain.

Apapun jika ditanya azam tahun ini, aku tidak banyak berubah dari tahun2 yang lalu. Meminta Allah terus merahmati kebahagiaan aku dan keluarga, mengurniakan kesihatan yang baik agar aku terus bersemangat menjaga emak serta mempermudahkan perjalanan hidup yang penuh berliku dan dugaan ini.

28 tahun menjalani kehidupan rumah tangga yang penuh onak dan duri, 28 tahun juga aku dalam dunia pekerjaan yang bermula sebagai pekerja biasa, hingga mencapai ketahap yang membanggakan. Kadangkala terasa begitu cepat masa berlalu. Tak sangka melihat anak2 sudah besar panjang membuatkan aku berbangga dengan diri yang telah dapat melalui pelbagai dugaan hidup yang jika difikirkan sememangnya sukar sungguh laluan hidup ini tanpa pertolongan Allah yang Maha Esa.

Masih tergiang-ngiang jerit pekik anak2 sewaktu kecil, ketawa, bergaduh dan menangis. Rupa2 nya sudah 28 tahun aku lalui semua itu. Semuanya itu amat berbaloi dengan kejayaan anak2. Aku lupa penat dan letih mendidik mereka, aku lupa sedih dan pilu sewaktu melalui saat genting dalam kehidupan.

Hari ini semuanya seakan penuh bahagia. Seakan tidak ada derita masa lalu. Cuma tiada siapa yang tahu luka dihati ini. Aku sudah lupakan segalanya. Kerana setiap yang berlaku adalah dugaan Allah bagiku. Malah apa yang aku lalui mustahil begitu mudah jika tidak dengan rahmat Allah dan doa kedua ibubapaku.

Bgi diriku hidup ini satu anugerah Allah kerana:

`Life is a gift from Allah, never regret a single day in your life, just remember that good days give you happiness, while bad days give you experience. Both are essential in your life'

Kepada anak2 diluar sana, perjalanan hidup anda masih jauh. Teruskan perjalanan ini meskipun laluannya amat sukar dan berliku-liku. Hidup tak selalunya indah...pahit dan payau adalah sebahagian dari hidup, adakalanya manis hanya seketika.Apapun hikmah disebalik setiap penderitaan itu hanya Allah sahaja yang tahu. DIA lah yang telah menentukan segalanya. redha dan pasrah atas segalanya kerana kita tidak pernah tahu disebalik awan mendung itu tersoroknya sinaran mentari.

Bagaimana kita lalui hidup hari ini mencorakkan masa depan kita untuk hari esok. Jangan takut kepada semua dugaan hidup kerana semua ini mematangkan kita dan menjadikan kita manusia yang tabah dan memberikan satu kepuasan hidup yang tak ternilainya. Hidup mesti selalu berfikiran positif...senyum selalu kerana senyuman itu tidak menyakitkan hati tetapi boleh menjadi penawar hati dan ingat kata2 ini:

" Sometimes Allah breaks our spirit to rate our soul, Allah breaks our heart to makes us whole, Allah send pain so we can be stronger, Allah send us failure so we can be humble, Allah send us illness so we can take care of ourselves. Sometimes Allah takes everything away from us so we can learn the value of everything Allah has given us"