Saturday, November 28, 2009

Aku, Dia dan KetentuanNYA







Malam ini aku menghabiskan helaian terakhir dalam buku Quranic Law Of Attraction. Buku ini cukup memberi inspirasi dalam diri ku sewaktu aku tergapai dalam mencari diriku yang sebenar. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini aku sentiasa resah dan gelisah mencari diriku yang sebenarnya.Mencari jawapan pada persoalan yang seringkali memecah tembok jangkauan pemikiran seorang insan.

Kadangkala aku rasa sepi dalam keriuhan, sedih dalam kegembiraan dan duka dalam senyuman. sepanjang setengah abad aku dibumi Allah ini pelbagai peristiwa pahit manis aku lalui. Namun tahun ini ianya terlalu mencabar buat aku. Berbalik pada buku yang menjadi inspirasi ku pada kali ini, aku rasakan suatu kekuatan menjalar disetiap inci tubuh ku setelah selesai membaca buku itu. Aku percaya setiap apa yang kita inginkan akan dimakbulkan Allah. Cuma masa nya sahaja yang menentukan segalanya itu menjadi nyata.

Aku pasrah dan tetap bersabar untuk menunggu saat doaku di makbulkan Allah. seperti kata penulis buku itu:

`latihlah diri untuk bersabar dalam menghadapi apa-apa pun termasuk menghadapi dugaan hidup ini. Ingat kesabaran mengundang kasih sayang Allah. Jika Allah sudah menyayangi diri kita apa juga yang kita kehendaki pasti di makbulkan'

Aku percaya, semua kejadian yang berlaku atas kehendak Allah. DIA yang mengatur segalanya dalam hidup ku. Seperti kata Ibnu Qayyim Al-Jauziyah dalam bukunya Bahagiakan Hatimu:

Setiap apa yang berlaku didunia ini sudah ditentukan Allah. Samada sesuatu itu memberi manafaat atau sebaliknya, kesenangan, mulia atau hina, semuanya itu milik Allah. Seperti yang Allah tegaskan dalam surah Fatir ayat 2

`Apa saja yang Allah anugerahkan kepada manusia berupa rahmat.Tidak ada seorangpun yang dapat menahannya. dan apa saja yang ditahan oleh Allah tidak ada sesiapa pun yang sanggup untuk melepaskannya. Dialah yang sebenarnya yang Maha perkasa lagi Bijaksana'

dalam surah Yunus ayat 107 pula Allah menegaskan:

`Jika Allah menimpakan sesuatu bencana kepadamu,tidak akanada sesiapa yang menghalangnya kecuali DIA. Dan jika Allah berkehendakkan kebaikan bagi kamu, tiada siapa yang dapat menolakNYA.Dia memberika kebaikan itu pada sesiapa yang dikehendakiNYA, diantara hamba-hambaNya. dan Dia lah Maha Pengampun dan Maha Penyayang'
dalam surah Ali Imran Ayat 160 Allah menerangkan lagi:

`Jika Allah mahu menolong kamu, tidak ada sesiapa yang dapat mengalahkan kamu. Jika Allah membiarkan kamu tidak ada sesiapa yang dapat menolong kamu kecuali Allah'

Insyaallah aku akan terus berdoa, bersabar dan yakin bahawa semua yang aku inginkan akan aku dapat suatu hari nanti. Aku perlu belajar menerima semua Qada dan qadar ini dan melaluinya dengan penuh tabah dan tenang. Hidup ini sementara dan tiada apa yang lebih membahagiakan dari mendapat petunjukNya dan kebenaran yang diberi oleh DIA.

Friday, November 6, 2009

Tahun yang Menguji Keimanan dan Ketabahan


Diam tak diam tahun ini akan berakhir sebulan lagi. Begitu cepat masa berlalu meninggalkan kita. Tahun ini ternyata pelbagai peristiwa saya lalui sebagai dugaan dan ujian ketabahan pada diri saya. Kadangkala kita tidak tahu mengapa semua ini terjadi. Dengan tidak disangka-sangka kita melalui saat itu dan terfikir akan kebodohan dan kedangkalan akal fikiran kita dalam menerima semua ini. Namun adakalanya kita tidak dapat mengelak semua yang berlaku. Seperti kata seorang teman saya, Allah akan menguji kita dalam pelbagai bentuk dan cara. Jangan terlalu banyak mempersoalkan urusan DIA.

Tapi kadangkala saya masih bertanya pada diri sendiri mengapa ianya perlu berlaku dan mengapa saya harus melaluinya dan kadangkala rasa seperti tidak logik pada akal fikiran yang waras. Apa2 pun saya terima semua ini dengan redha dan yakin ada hikmah disebalik semua kejadian.

Bagi saya tahun 2009 terlalu banyak peristiwa dalam hidup saya. Ada yang boleh diceritakan dan ada yang tetap menjadi rahsia diri sampai saya menghembuskan nafas terakhir. Bagi saya suka duka 2009 akan berlabuh sebulan lagi. Banyak keazaman baru bersarang dijiwa saya. Namun mampukah saya melaksanakan nya...???? Kuatkah saya menempuh segalanya???

Saya amat takut untuk bersikap takabur, kerana sifat itu amat dibenci Allah. namun apabila berlabuhnya tirai 2009 beberapa checklist keazaman baru ingin saya tunaikan. Antaranya menumpukan pada pengajian Phd saya secara part-time. Seringkali saya bertanya pada diri, mampukah saya lakukan pada usia setengah abad ini, pada kala diri sudah semakin dimamah usia, pada ketika kesihatan sering menduga. Apapun saya selalu berkata pada diri agar bertekad dan berazam untuk meneruskannya meskipun banyak halangan dan rintangan yang bakal ditempuhi.

Dulu saya langsung tidak berminat, menyambung pelajaran di peringkat Phd. Bagi saya sudah memadai apa yang saya ada pada masa sekarang dan lebih selesa mengajar dan menghabiskan masa dengan menulis yang sememangnya hobi saya sejak dibangku sekolah lagi. Tiba2 satu peristiwa berlaku dalam hidup saya. Saya tidak pernah kesal itu semua tapi saya mahu membuat sesuatu yang membolehkan saya meningkatkan kembali self esteem saya dan menjadi diri saya yang sebenar. Peristiwa itu benar2 menguji saya dan saya selalu berdoa agar ianya tak pernah berlaku. Tapi seperti yang saya katakan tadi, itu semua kehendak Yang Maha Kuasa. Kita tidak mampu menepisnya bila DIA memilih kita untuk melalui dugaanNYA

Ya...saya mahu menjadi diri saya yang sebenar dalam ertikata yang amat mendalam dan bukan menjadi hipokrat. Hari berganti hari, masa terus berlalu dengan pantas. Usia semakin meningkat dan hidup semakin singkat. Doa saya agar tahun 2010 nanti membawa perubahan dalam diri saya dan segala yang berlaku memberi hikmah untuk memperbaiki kelemahan diri saya. Itulah secebis doa yang saya panjatkan kepada Ilahi kerana memberi dugaan ini untuk saya tempuhi. Semoga saya terus tabah....insyaalah.