Monday, January 4, 2010

Belajar Dari Kesilapan Masa Lalu.




Tirai 2009 sudah pun ditutup menandakan perginya satu tahun yang cukup terkesan dalam hidup ku. Kemunculan subuh 2010 seolah membawa sinar bahagia apabila aku membuat satu keputusan yang selama ini menjadi dilema yang menyiksa batin dan menganggu hidup hampir setahun. Allah itu Maha kaya, malam Jumaat 31 Disember 2009 aku berdoa pada Allah tunjukkan aku kebenaran dan permudahkan aku untuk membuat satu keputusan yang sangat penting dalam hidup ku. Mulanya aku takut tersilap tapi kuasa Allah mengatasi segalanya. Alhamdulillah aku merasakan aku dijalan yang benar dan keputusan itu adalah firasat dari Allah.

Banyak yang Allah tunjukkan dan berikan pada ku. Segala apa firasat ku selama ini rupa2nya benar belaka. Kata hatiku tidak pernah menipu dan perasaan was-was terhadap sesuatu yang berlaku adalah petunjuk dariNYA. Kadangkala menjadi manusia mudah mengalah dan terlalu prihatin seperti aku adalah peluang untuk orang lain mengambil kesempatan. kejujuran dan keikhlasan hati sering dijadikan ruang oleh mereka yang penipu ini untuk memperdayakan orang lain. Benarlah kata pepatah silemah makanan si kuat.

Aku benar-benar bersyukur apabila Allah memberikan dugaanNYA kepada ku. Tanpa dugaan ini aku tidak akan belajar dari kesilapan, aku akan merasakan sifat yang ada dalam diri ini adalah yang terbaik tanpa memikirkan bahawa diluar sana manusia jahat ramai yang menunggu peluang memperdayakan insan lemah seperti aku.

Pernah seorang sahabat menasihati aku supaya jangan mudah percaya pada orang lain. Tapi aku tidak mahu prasangka bersarang dalam jiwa dan hati ku. Aku anggap semua orang jujur seperti aku dan tidak mungkin berlaku perkara yang tidak diingini jika kita berbaik sangka dan sentiasa ikhlas. Rupa-rupanya manusia ini rambut je sama hitam tapi hati lain-lain.

Memang sedih pada mulanya apabila kenyataan mula terserlah.Hakikat kebenaran memang amat menyakitkan. Bak kata pepatah Inggeris The Truth Hurts. Tapi kesakitan menanggung kenyataan itu sebenarnya adalah satu nikmat yang tidak terhingga jika kita difikirkan semula . Allah MAHA BERKUASA...jika dia mahu menunjukkan kebenaran sekejap sahaja kita boleh mendapatnya. Berdoalah tanpa putus asa, insyaalah dia akan beri jalan pada kita.

Aku pernah beberapa kali menangis selepas solat apabila kebenaran sentiasa kabur. Namun disubuh 2010 Allah membukakan Hijab kebenaran bagiku dan memberikan ketenangan dalam jiwa ku yang selama ini terhimpit oleh prasangka dan kata hati.

Tidak ternilai rasanya ketenangan yang Allah Anugerahkan pada ku ketika ini. Bangun pagi terasa segar dan tenang. Bagaikan terangkat satu bebanan yang di letakkan atas kepala ku selama ini. Ringan sungguh minda dan boleh berfikir lebih rasional. Syukur, kebenaran terserlah juga akhirnya. The truth prevail. Pengajaran yang dapat aku perolehi ialah pengalaman itu amat berharga dalam hidup kita. Melaluinya mendewasakan kita memberikan ketabahan dan mengukuhkan keimanan. Kita lebih dekat pada NYA dalam kesusahan dan sewaktu dilanda kerunsingan. Malah sewaktu aku dalam kebingungan terasa dekatnya Allah dalam hidup ku, terasa aku dampingi DIA dalam diriku. Hanya padaNYA aku bermohon dan Allah yang tahu mengapa semua ini berlaku, mengapa kita yang dipilih untuk lalui ujianNYA. Akhirnya aku pasrah dan sedar, begitu kerdilnya aku dan begitu rapuhnya keimanan ku tanpa ALLAH disisi.

Semoga tahun 2010 ini terus membawa sinar kecemerlangan, kebahagiaan dan ketenangan hakiki dalam hidupku.