Monday, September 26, 2011

Semoga Mak tenang dan kembali keRahmat Allah...

Tiada siapa menyangka, keadaan mak yang semakin pulih dari sakitnya sebenarnya adalah petanda bahawa dia akan pergi buat selama-lamanaya. Mak telah kembali kerahmatullah pada 11 Ramadhan bersamaan 11 Ogos 2011. Saat kehilangan Mak amat aku rasakan, terlalu sedih dan tiada perkataan yang dapat menggambarkan perasaan ku ketika itu. Beberapa hari sebelum mak meninggal dunia, dia berpesan agar aku jangan tinggalkan dia, disuruhnya aku memeluk dan menciumnya, duduk dengannya setiap waktu.

Aku dapat rasakan satu kelainan pada diri mak...memang aku memikirkan sesuatu yang buruk, tapi aku pujuk diriku dengan mengatakan bahawa itu hanya mainan perasaan sahaja. Rupa-rupanya benarlah kata hati dan firasat ku bahawa itu petanda yang dia akan meninggalkan aku buat selama-lamanya. Mengenang kembali kisah hidup aku sebagai anak sulung perempuan bersama mak...rasanya ianya boleh aku jadikan buku. Sebagai anak sulung perempuan dari 10 orang adik beradik, Aku adalah orang kanan Mak yang sentiasa bersamanya menjaga adik2 sewaktu mereka masih kecil. Bayangkan sepuluh orang semuanya adik beradik aku, pasti kecoh dan sukar untuk mak menjaganya seorang diri. Mujurlah aku dan adik2 perempuan mempunyai jarak umur yang tidak jauh antara satu sama lain. Dalam keluarga besar kami, bergotong royong membantu mak dirumah adalah rutin hidup kami. Kehidupan masa itu sentiasa sahaja gembira, jarang memikirkan masalah, walaupun ayah bekerja di kilang besi, mak pula suri rumah, kami sentiasa bersyukur atas apa yang ada.

Arwah ayah seorang yang sangat bertanggungjawab terhadap anak2 dan mak pula sentiasa memastikan kami makan makanan masakan dirumah. kalau tak ada lauk pun mak akan masak sambal tumis ikan bilis dan kami makan dengan nasi dan kicap. Lebih lumayan mak akan goreng telur dadar. Ah!!! masa tu masakan itulah yang menjadi makanan kegemaran kami.Kalau nak makan ayam atau daging hanya waktu hari raya sahaja. Ayah akan pastikan masa hariraya kami dijamu dengan makanan enak sebab anak2nya dah penat berpuasa sebulan. Mak amat menyintai ayah dan masa mak bersalin adik kami yang kesepuluh mak tak boleh berjalan lepas bersalin secara pembedahan. Lebih kurang 4 tahun lamanya Mak terpaksa berpapah sebab lepas bersalin mak mengalami komplikasi yang agak teruk akibat bersalin secara ceaserian. Arwah ayahlah yang menjaga Mak. Begitulah gigihnya arwah ayah dan kami adik beradik menjaga mak yang tak boleh berjalan sehingga lah Mak boleh menggunakan tongkat untuk berjalan sendiri. Sejak mak sakit aku sudah berazam untuk berhenti sekolah menjaga mak dan adik2 yang lain. Tapi mak dan ayah tak benarkan. Mereka kata, kalau tak sekolah nasib aku masa depan tak akan berubah.Mesti sama macam nasib mak dan ayah. Mereka suruh aku teruskan persekolahan walau apa pun terjadi...kerana bagi mereka hanya pelajaran yang dapat mengubah nasib keluarga kami.Aku akur pada pendapat mereka.



Malangnya sesuatu yang tidak diduga berlaku, arwah ayah yang sihat dan sentiasa ceria kembali kerahmatullah pada usia 59 tahun. Dia disahkan mendapat serangan jantung ketika itu. Mak bagaikan hilang tempat bergantung disaat ayah meninggal dunia.. bagaimanapun selepas arwah ayah meninggal..aku menggantikan tempat arwah ayah menjaga mak...bermula disitulah aku mula akrab dan menjaga mak sehingga akhir hayatnya.Mak dan aku punya banyak persamaan. Kami suka masak, menjaga pokok bunga, membuat kuih dan bercerita. Pernah aku berkata kepada mak...jika aku tidak menjadi pensyarah ketika ini...mesti aku jadi suri rumah yang paling berjaya....mak sentiasa suka mendengar celoteh ku...Keserasian itu yang membuatkan Mak begitu betah dirumah aku. Malah aku selalu bercerita mengenai Mak kepada pelajarku. Pendekkata cerita Mak pandai masak, kisah mak dan segala suka duka bersama Mak adalah topik yang selalu aku bualkan bersama pelajar.

Aku masih ingat lagi mak pernah berkata bahawa dia tidak sangka kehidupan aku boleh berubah sebegini. katanya dia tidak sangka yang aku akan mempunyai kerjaya dan memiliki rumah serta kereta kerana sejak kecil aku banyak membantu emak dirumah sehingga bercadang untuk berhenti sekolah. Aku senyum mendengar pengakuan mak. Sesungguhnya itu sahaja bakti yang dapat aku curahkan kepada mak sewaktu aku kecil dan sekarang bakti aku kepada mak tersayang ialah menjaganya sewaktu tua. Jika dihitung kesengsaraan mak dan ayah menjaga dan membesarkan aku tidak terbalas rasanya apa yang aku lakukan ini kepada mereka. Mungkin hanya sekelumit dan sedikit sangat berbanding pengorbanan mereka.



Malah semasa hayatnya Mak pernah berkata aku ibarat semangat kepada dia. katanya dulu arwah ayah adalah semangat Mak tapi selepas arwah ayah meninggal mak bagaikan hilang semangat dan hidupnya sentiasa sedih dan berduka. Namun kehidupan mak mula ceria sejak tinggal dengan aku. Waku bekerja aku pastikan keperluan mak terjaga. Waktu pagi kami selalu sarapan bersama,mak suka makan roti bakar, begitu juga makan tengahari dan minum petang. Keakraban itu yang membuatkan aku sukar berpisah dengan mak. Dirumah, mak menjaga tertib anak2 perempuan aku. Banyak pantang larang yang mak bagi serta petua menjadi wanita melayu terbaik. Anak2 sekarang tidak suka sangat ditegur, tapi mak tetap tegas dengan amalannya. Mak tidak suka anak2 perempuanku bercakap kasar atau menengking aku. mak akan naik angin jika mendengar anak2 aku mula meninggi suara kepada aku. Mak selalu menasihatkan anak2 ku supaya membantu aku menguruskan kerja2 rumah kerana kami tiada pembantu. mak kata dia terlalu simpati dan kasihan melihat aku apabila aku terpaksa bertungkus lumus membuat kerja rumah sekembalinya dari tempat kerja. Sifat aku yang lembut membuatkan emak lebih banyak mengajar anak2 aku menjadi manusia. Sayangnya Mak kepada aku tidak terhingga... sehingga waktu aku sakit dia lah yang menjaga aku dan bukannya anak2 ku atau suami ku. Pernah aku jatuh sakit dan dimasukkan keunit ICU...mak lah orang yang paling sedih dan risau tentang keadaan aku. Dia cakap kalau ditakdirkan aku akan pergi dulu dia sanggup menggantikan tempat aku....katanya aku masih banyak tanggungjawab yang hendak dipikul dan digalas, dia pula sudah tua...aku menangis mengingatkan ini semua. Sedih tidak terkata. Bagiku sudahlah dia berkorban untuk aku dia sanggup juga menggantikan aku jika sesuatu terjadi...ah begitulah mulianya hati seorang ibu.Namun mak pernah menyuarakan rasa bimbang terhadap aku jika aku tua tidak ada sesiapa yang mahu menjaga aku. katanya, " Atie jaga mak masa sekarang...nanti atie tua sape nak jaga pulak, budak2 tu bukan boleh harap sangat, risau pulak mak.." katanya. Aku pula sentiasa memberi semangat kepada mak dengan mengatakan insyaAllah tentu ada salah seorang anak yang akan menjaga Atie nanti....Mak jangan bimbang...

Dalam melalui liku hidup ini...takdir menentukan segalanya. Januari 2011, mak mula jatuh sakit. Dua kali keluar masuk hospital dan kali terakhir dia dimasukkan ke hospital pada bulan Julai 2011. Sewaktu dimasukkan kehospital kali terakhir mak sudah tidak mahu tinggal disitu, mak minta aku bawa dia pulang kerumah. Dia kata kalau nak jadi apa2 biarlah dirumah dan biarlah didepan aku. Mendengar rintihan Mak...Aku akur permintaan mak. Selepas keluar hospital mak nampak semakin sihat dan ceria. Namun tiada siapa sangka, selepas tiga minggu keluar hospital mak menghembuskan nafasnya yang terakhir dipangkuan aku. Masih teringat lagi dua hari sebelum meninggal Mak minta aku rebuskan keledek dan suapkan dia makan dilaman rumah yang penuh dengan pokok bunga hasil usaha kami berdua. Mak kata cantik pokok2 tu " Atie...kau jaga pokok2 tu baik2 ye..." pesan mak pada aku..Dia memang sayang pokok2 bunya yang ditanamnya sejak 10 tahun lalu. Malam terakhir bersama Mak, iaitu pada 11 Ramadhan aku asyik teringat pada mak sahaja. Aku seperti terdengar2 suara mak memanggil nama aku. Malam tu aku tidur peluk mak dan terasa hangat tubuh mak. Aku genggam tangan Mak. Mak tidur agak nyenyak. Tepat jam 3 pagi mak bangun minta air pada aku, katanya dia haus sangat2. Aku bingkas bangun dan mengambil segelas air...sambil memegang gelas yang berisi air, aku memangku kepala mak untuk memberinya air, dia memandang tepat pada anak mata ku, tiba2 mak jadi sesak nafas... dan dengan tiga kali tarik nafas Mak pergi meninggalkan aku buat selama-lamanya. Saat melihat keadaan mak begitu aku sudah tahu Mak dah tak ada lagi. Aku meletakkan kepala mak dibantal dan mencium nya buat kali terakhir. Tatkala itu aku tidak dapat menangis kerana terasa terlalu sebak sehingga aku tdk dapat menitiskan air mata. Itu lah kenangan terakhir aku bersama Mak yang tidak mungkin dapat aku lupakan buat selama-lamanya.

Namun hari ini rasa rindu pada mak sentiasa membara. Segala kenangan pahit manis bersama mak tergambar di memori ku. Sekarang ini barulah air mata ku begitu murah bercucuran dan perasaan rindu pada mak semakin menghimpit perasaan. Apapun mak pastinya sudah tenang disana. Aku doakan mak di rahmati Allah dan bersama para solihin. Aku juga tidak tahu bila pula masa aku akan pergi mengadap ilahi. Ye....kita semua akan kesana, satu destinasi terakhir dalam kehidupan kita. Sejak mak pergi aku sering memikirkan tentang kehidupan selepas ini. Semoga aku tabah dan terus memuhasabah diri untuk mencari jalan pulang yang diredhai Allah...Amin...


Buat semua yang mengikuti blog ini....sayangilah ibubapa anda selagi mereka masih ada....





Monday, August 1, 2011

Di Sebalik Tabir Penderitaan, Ada Sebuah Keindahan

By Hariyati Ariffin on Monday, August 1, 2011 at 5:40pm

Beberapa bulan yang lalu hidup ini rasa tidak terurus. Macam2 yang bermain difikiran. Keadaan Mak ketika itu semakin hari semakin teruk sakitnya. Aku menjadi buntu, dan cemburu pada masa dan keadaan yang membuatkan aku terpaksa melalui rutin harian yang sangat padat dan tertekan. Sebagai manusia biasa aku adakalanya kalah pada perasaan dan dugaan yang Allah berikan. Jiwa sentiasa cemas dan fikiran hanya tertumpu pada mak yang sakit. Aku abaikan banyak perkara dalam hidup, dari keluarga hingga diriku sendiri. Fikiran terus dilanda kebuntuan. Mujur lah ramai kawan2 yang pernah melalui nasib yang sama berkongsi pengalaman dan memberi tips yang dapat meringankan beban fikiran dan perasaan susah hati yang teramat sangat.



Aku jadi murung sebab takut berdepan dengan kenyataan. Semakin hari aku semakin tertekan sehingga puncak kepada tekanan yang terlampau membuatkan aku sakit kepala yang terlampau serta jatuh pengsan. Aku adalah manusia yang tidak dapat bertenang jika berhadapan dengan masalah diri, lebih2 lagi melihat penderitaan mak yang saban hari mengeluh kesakitan, menangis dan tidak ada daya bergerak serta terpaksa diuruskan segala keperluaannya diatas katil. Jika ditanya bagaimana perasaan aku ketika itu, sememangnya aku katakan hancur luluh segalanya. Terasa bagai mahu mengambil alih tempat mak supaya boleh aku gantikan dia menanggung sakit dan segala penderitaannya ketika itu. Oleh kerana terlalu memikirkan mengenai mak sebulan lalu aku mengalami perasaan yang amat sukar untuk aku jelaskan.Aku lupa kalimat sabar, aku lupa aku perlu banyak berdoa dan aku lupa bahawa ini semua adalah dugaan Allah untuk menjadikan aku lebih baik dari sebelumnya. Kemanisan terhadap penderitaan ini tidak aku ketahui. Aku hanya memikirkan kesulitan tanpa mengetahui bahawasanya disebalik ini semua akan terselitnya satu kemanisan yang tidak pernah aku ketahui kerana terpilih melalui ini semua.



Bagaimanapun Allah Maha mendengar rintihan hambanya, Maha menyayangi dan Maha mengerti penderitaan hambanya. Emak diberikan sakit yang bukan sahaja menduga aku tetapi mempunyai hikmah yang tiada ternilainya dalam hidup. Pengalaman menjaga mak membuatkan aku menjadi insaf. Setiap malam menjaga mak dan berzikir serta berdoa agar Allah meminjamkan kembali kudrat dan semangatnya kepada Mak....membuatkan aku percaya bahawa setiap dugaan dan masalah yang diberikan Allah ada jalannya dan pasti kunci nya terletak pada kesabaran dan ketabahan kita sebagai insan yang kerdil. Disamping itu, segalanya ini membuatkan kita bersyukur dan memuhasabah diri.



Semuanya ini sebenarnya membuka mata ku terhadap erti kehidupan yang sebenarnya disamping mengenal hati budi manusia dan mereka yang tertentu. Tidak semua yang sanggup bersama kita disaat sukar begini. Berhadapan dengan karenah manusia kadangkala lebih memeningkan dan menyedihkan. Aku melihat kuasa Allah mengatasi segalanya dalam hidup. Meskipun dugaan ini tidak lama tetapi aku semakin mendapat jawapan terhadap persoalan yang sering bermain difikiran ku. Kini Ramadhan tiba lagi, dengan kuasa Allah yang Maha mengetahui segalanya, di angkatNya sedikit demi sedikit penderitaan yang pernah membelenggu hidup ku. Allah meringankan rasa resah ku dan memberi jalan terhadap permasalahan ku. Alhamdulillah...banyak pertolongan yang datang, laluan menjadi semakin mudah , keadaan Mak juga tidak seteruk dulu, walaupun doktor pernah memberi amaran yang membuatkan aku terus cemas dan memikirkan sesuatu yang buruk akan menimpa, namun aku percaya ajal dan maut tetap ditangan Allah....Kuasa Allah mengatasi segalanya.Kita hanya merancang Allah menentukan segalanya.



Semoga di bulan yang mulia ini Allah menggandakan ketabahan dan kesabaran aku dan semoga Mak terus dilimpahkan Allah dengan kesabaran atas dugaanNYA ini. Pada hari ini aku rasakan dunia kembali ceria dan life is catching up ...semoga dengan kasih sayang dan doa semua anak2 Mak...beliau dapat bersama2 berhariraya dengan kami pada tahun ini. Terima kasih adik-adik kerana memahami akak.....kepada yang telah bekorban masa dan tenaga serta wang ringgit, akak ucapkan terima kasih. Itulah satu2nya Mak kita. Selain itu ingatlah bahawa kehidupan ini adalah satu putaran, kita tidak semestinya sentiasa berada diatas dan kita tidak sentiasa muda. Suatu hari kita semua pasti tua dan nasib kita semua belum pasti. Semoga kita mengambil iktibar terhadap setiap dugaan yang Allah berikan kepada kita. Selamat berpuasa kepada semua rakan2 Fb dan saya meminta maaf diatas segala ketelanjuran kata dan bicara serta kekasaran perlakuan yang menyinggung perasaan anda. Semoga kita semua di berkati Allah dibulan yang penuh barakah ini. Amin...

Sunday, July 3, 2011

Phd...yang bakal tinggal kenangan ( Tak sanggup lagi rasanya)

Cuti sem yang agak panjang semester ni membuatkan aku berazam untuk meneruskan tesis Phd yang tergendala. Namun kita merancang Allah yang menentukan segalanya. Sejak cuti semester bermula aku langsung tidak dapat mencuri masa menyambung tesis yang tergendala. Dengan tugasan yang agak berat di rumah dan beberapa projek dan seminar yang harus aku hadiri membuatkan aku menjadi serba salah. Rutin seharian tetap tidak berubah. Aku menguruskan emak dan sejak cuti sem ni aku lebih banyak menumpukan pada emak berbanding kerja di pejabat. Aku terlalu sayu melihat keadaan mak. Semakin hari dia semakin lemah dan tidak ada perubahan kearah yang lebih positif. Jika menjaga anak kecil perubahan positif adalah kesannya, namun menjaga orang tua adalah sebaliknya.

Emak ku semakin tidak boleh mendengar, kalau dulu boleh berjalan sedikit-sedikit, sekarang mengangkat punggung untuk memakai pampers juga sudah terlalu susah. Aku dan bibik terpaksa mengangkatnya setiap hari untuk bangun dari katil. Memapahnya ke bilik air untuk mandi. Kadangkala badan menjadi sakit-sakit. Namun aku redha...kerana selagi dia ada umur aku akan lakukan semuanya untuk dia. Puas berdoa agar mak sihat semula, namun Allah lebih mengetahui segalanya.

Bila melihat keadaan mak yang uzur aku jadi terlalu kasihan dan tidak sanggup meninggalkannya. Namun hidup ini mesti diteruskan. Aku buat yang terbaik untuk mak tapi adik2 ku pernah berkata, aku terlalu manjakan mak sehingga mak jadi sakit dan tak nak usaha lawan penyakitnya. Aku tak tau nak kata apa lagi.Ibarat kata pepatah, diluah mati mak ditelan mati bapak...sku sentiasa dalam serba salah. Ada juga yang menyalahkan aku kerana menjadi terlalu lembut, terlalu penyayang dan terlalu prihatin sehingga, orang disekeliling aku menjadi mengada-ngada. Aku dah tak kisah apa orang nak kata, sifat aku Allah yang berikan, sememangnya aku tak tergamak membuat orang apatah lagi ibu ku yang melahirkan aku dan menjaga aku dari kecil hingga aku dewasa. Aku akan ikut apa mak nak. Itu lah mak aku satu2nya...dan aku menjadi orang kanannya sejak aku kecil lagi. Aku tak tega buat macam orang lain. Tengking atau cakap kasar dengan mak, buat mak sakit hati.Biar aku mati dari menjadi tegas sebegitu.

Berbalik pada Phd aku ni, macam2 yang aku dapat pendapat mengenainya. Ada yang kata kalau ikut kepentinga Phd tu tak sepenting menjaga mak aku. Kata mereka menjaga seorang ibu lebih penting dari segala-galanya.( Kadang orang pandai cakap saja) Ye memang betul. aku akui semuanya itu, tapi Phd adalah pencapaian terakhir ku dalam bidang akademik. Aku teringin memiliki Phd sebelum aku bersara. Memang bukan mudah. Jika orang mendapat Phd pada usia 30 tahun, aku pula baru terkial-kial memulakan pengajian peringkat itu pada usia 50 tahun. Ada rakan yang pernah berkata, tak guna lagi nak teruskan Phd bila usia dah lebih 50 tahun, kerana tak perlu pun semua itu. Ada kebenarannya. Tapi bagi aku pula memulakan penyelidikan Phd pada usia ini memberikan aku satu perspektif yang luas tentang kehidupan dan mencari satu jawapan kepada kemusykilan dalam diri ku ini. Sebagai pensyarah, proses belajar dan mengajar adalah kehidupan aku. Proses mengajar dan belajar membuka minda dan memberikan aku lebih kefahaman tentang perjalanan hidup dan perjalanan menuju kematian. Aku tidak tahu samada Allah mengizinkan atau tidak keinginan ku ini. Namun aku akan terus berdoa, walaupun rasanya sudah terlalu nazak untuk aku meneruskan pengajian ini. Biarlah aku serahkan segalanya pada yang Maha mengetahui...kerana aku percaya jalan hidup ini telah ditentukan olehNYA...

Thursday, May 5, 2011

Dugaan...ini kah dugaan...semoga terus tabah dengan ketentuan dan janji Allah.

Sejak mak sakit awal tahun ini rutin hidup ku mula berubah. Sebelum pergi kerja aku akan memasak untuk mak dan menyediakan keperluaannya sebelum melangkah ketempat kerja. Tengahari pula aku akan balik kerumah memastikan mak makan dan dia dijaga dengan baik oleh bibik dirumah. Kesibukan disetiap hari membuatkan aku bagai seorang suri rumah walaupun pada hakikatnya aku seorang pendidik. Aku tidak pernah kesal melakukan ini semua, kerana ada orang yang lebih teruk dari aku. Sejak akhir-akhir ni keadaan mak dah semakin kurang memuaskan... adakalanya dia ingat adakalanya dia lupa. Aku kadangkala begitu diduga dan adakalanya kesabaran sampai ketahap sangat tipis dan sehingga sukar dikawal.Seorang teman pernah memberitahu, buatlah apa yang termampu selagi ibu kita masih ada dan jangan putus asa. Tapi aku rasa aku tidak sekuat dia yang sanggup menjaga ibu yang sakit lumpuh dan tidak berdaya.Karenah ibu membuat aku menangis dan memohon pada Allah agar memberikan kesabaran yang menebal dalam diri ini. Dia sememangnya sudah tidak berdaya dan dengan ingatan yang kadangkala baik dan kadangkala kurang, aku terpaksa akur pada kehendak Allah yang telah mengambil apa yang pernah diberikan pada Mak suatu masa dulu. Aku juga tidak tahu nasib diriku...Aku doa Allah berikan kesihatan yang baik untuk aku jaga mak.
Petang tadi mak menangis sambil memeluk aku dan berkata, dia tak suka aku kerja setiap hari, dia mahu aku menemaninya, dia mahu aku suapkan dia makan, bersihkan najisnya dan banyak lagi. Aku bagitau dia, semuanya aku dah buat... pagi, masak untuk dia uruskan dia sebelum pergi kerja, tapi dia tak puas hati dan terus marah-marah sehingga aku terdiam seketika kerana tak tau apa yang harus aku buat lagi. Teringat kata-kata adik2 ku...`sebab akak sabar sangat lah Mak sesuai dengan akak...kami tak sabar dan panas baran tu pasal mak tak suka tinggal dengan kami'...bagi ku kesabaran ini anugerah Allah pada ku...tapi seperti kata pepatah, ' diluah mati mak ditelan mati bapak'aku terlalu serba salah...aku perlu bekerja dan aku juga mahu menjaga Mak dengan terbaik....selagi dia ada umur...( dalam waktu yang sama teringat kemesraan mak dan aku waktu dia masih sihat dulu, sedih bila teringat semuanya itu....)

Dia memang rapat dengan aku sejak aku kecil lagi kerana aku lah anak perempuan sulung yang menjadi orang kanannya sejak dulu. Dengan bilangan adik beradik yang ramai (10 orang)aku lah yang membantunya sehingga adik beradik yang lain membesar.Setiap setahun atau dua tahun mak akan melahirkan adik beradik aku. Seawal lapan tahun aku sudah membantunya membasuh kain, buat kerja dapur dan membasuh pinggan. Pada usia 12 tahun aku sudah boleh masak untuk keluarga dan menjadi mak kedua untuk adik2 yang lain...aku dan mak adalah team yang baik dalam `pembangunan insan' keluarga kami...secebis kisah dan memori antara mak dan aku

Oleh itu keserasian yang ada antara kami menyebabkan dia tidak mahu tinggal dengan adik beradik yang lain...dia tetap mahukan aku...tapi aku perlu kerja untuk menyara hidup keluarga dan dirinya. Ya Allah....jika aku berkemampuan ...tak perlu aku susah2 kerja...mahu saja aku duduk dirumah menjaga dia dan suami yang sudah bersara. Tapi aku terpaksa...aku adalah `the bread winner of the family' walau apa pun yang akan terjadi aku serahkan pada Allah yang Maha Mengetahui...semoga Allah melorongkan jalan yang mudah buat ku...Amin....

Thursday, March 10, 2011

Semoga Tahun 2011 membawa keberkatan dan ketenangan

Lama sungguh aku tidak mengemaskini blog ini. Terasa seakan ianya sudah hampir terkubur. Kesibukan dan tanggungjawab yang semakin bertambah sejak ibu ku sakit membuatkan aku tidak sempat meluahkan perasaan disini mahu pun berkongsi pengalaman bersama mereka yang sering mengikuti blog ku ini. Mungkin ketika ini mereka yang mengikutinya juga sudah melupakan blog ini. 2010 meninggalkan banyak kenangan pahit dan manis. Namun banyak yang aku pelajari tentang kemanusiaan dan sikap sebenar manusia. Apa yang berlaku sepanjang dua tahun ini benar2 mengajar ku tentang kehidupan yang sentiasa menguji kita.

Di awal tahun ini aku berhadapan dengan fitnah yang menjatuhkan maruah aku. Walaupun aku tahu tujuan orang berkenaan melakukannya, aku berdoa dia mendapat petunjuk Allah. Aku tidak marah kepada nya kerana selama ini perbuatannya diselindung sebalik kewaraqan dan sifat keislaman yang terserlah secara luaran sahaja. Dia bukan budak2 lagi....sudah setengah abad hidup didunia ini. Ibarat kata pepatah, `rumah kata pergi kubur kata mari'masih terus mahu menabur fitnah untuk kepuasan diri. Aku pasrah...walaupun aku terpaksa menerima tohmahan dan putus persahabatan dengan beberapa rakan karib kerana mereka mempercayai kata2nya berdasarkan sifat baik secara luarannya, aku tetap berdoa satu hari Allah akan tunjukkan kebenarannya.

Tahun ini juga tahun duka bagi ku. Ibu ku sakit kuat dan aku terpaksa membahagikan masa antara kerjaya ku sebagai pensyarah dan ibu yang tersayang. Bukan mudah melakukannya, ibarat menyeret kaki ku melakukan semuanya, namun demi Ibu aku sanggup berkorban. Melihat wajah ibu yang tidak berdaya, tubuhnya yang semakin kurus dan kusam, aku jadi insaf bahawa, jika aku seusia dia pasti aku merasakan perkara yang sama.

Awal tahun 2011 sudah benar2 menduga kesabaran dan keimanan ku. Apa2 pun aku berdoa ibu akan sembuh seperti dulu, boleh kembali menunggu aku pulang dari kerja, menikmati makan tengahari dan minum petang bersama-sama, bercerita dan bergelak bersama. Ah rindu nya aku pada saat itu bersama ibu. Sekarang dia sudah tidak berdaya. Dia hanya mampu tersenyum dan adakalanya menjadi agak bengis dan tidak karuan perbuatan dan perangainya. Ya Allah Kau tabahkan hati ku menghadapi semua ini. kerana aku tahu, Kau menguji ku dengan hebat dan menduga keimanan ku. ya Allah ringankan penderitaan Ibu ku dan berikan aku kekuatan melawan fitnah yang dilemparkan pada ku Ya Allah, Kau berikan petunjuk pada mereka yang dengki padaku, sesungguhnya mereka itu masih belum nampak nikmat Mu Ya Allah.... Amin.. amin.. Yarabbal A'lamin....