Thursday, May 5, 2011

Dugaan...ini kah dugaan...semoga terus tabah dengan ketentuan dan janji Allah.

Sejak mak sakit awal tahun ini rutin hidup ku mula berubah. Sebelum pergi kerja aku akan memasak untuk mak dan menyediakan keperluaannya sebelum melangkah ketempat kerja. Tengahari pula aku akan balik kerumah memastikan mak makan dan dia dijaga dengan baik oleh bibik dirumah. Kesibukan disetiap hari membuatkan aku bagai seorang suri rumah walaupun pada hakikatnya aku seorang pendidik. Aku tidak pernah kesal melakukan ini semua, kerana ada orang yang lebih teruk dari aku. Sejak akhir-akhir ni keadaan mak dah semakin kurang memuaskan... adakalanya dia ingat adakalanya dia lupa. Aku kadangkala begitu diduga dan adakalanya kesabaran sampai ketahap sangat tipis dan sehingga sukar dikawal.Seorang teman pernah memberitahu, buatlah apa yang termampu selagi ibu kita masih ada dan jangan putus asa. Tapi aku rasa aku tidak sekuat dia yang sanggup menjaga ibu yang sakit lumpuh dan tidak berdaya.Karenah ibu membuat aku menangis dan memohon pada Allah agar memberikan kesabaran yang menebal dalam diri ini. Dia sememangnya sudah tidak berdaya dan dengan ingatan yang kadangkala baik dan kadangkala kurang, aku terpaksa akur pada kehendak Allah yang telah mengambil apa yang pernah diberikan pada Mak suatu masa dulu. Aku juga tidak tahu nasib diriku...Aku doa Allah berikan kesihatan yang baik untuk aku jaga mak.
Petang tadi mak menangis sambil memeluk aku dan berkata, dia tak suka aku kerja setiap hari, dia mahu aku menemaninya, dia mahu aku suapkan dia makan, bersihkan najisnya dan banyak lagi. Aku bagitau dia, semuanya aku dah buat... pagi, masak untuk dia uruskan dia sebelum pergi kerja, tapi dia tak puas hati dan terus marah-marah sehingga aku terdiam seketika kerana tak tau apa yang harus aku buat lagi. Teringat kata-kata adik2 ku...`sebab akak sabar sangat lah Mak sesuai dengan akak...kami tak sabar dan panas baran tu pasal mak tak suka tinggal dengan kami'...bagi ku kesabaran ini anugerah Allah pada ku...tapi seperti kata pepatah, ' diluah mati mak ditelan mati bapak'aku terlalu serba salah...aku perlu bekerja dan aku juga mahu menjaga Mak dengan terbaik....selagi dia ada umur...( dalam waktu yang sama teringat kemesraan mak dan aku waktu dia masih sihat dulu, sedih bila teringat semuanya itu....)

Dia memang rapat dengan aku sejak aku kecil lagi kerana aku lah anak perempuan sulung yang menjadi orang kanannya sejak dulu. Dengan bilangan adik beradik yang ramai (10 orang)aku lah yang membantunya sehingga adik beradik yang lain membesar.Setiap setahun atau dua tahun mak akan melahirkan adik beradik aku. Seawal lapan tahun aku sudah membantunya membasuh kain, buat kerja dapur dan membasuh pinggan. Pada usia 12 tahun aku sudah boleh masak untuk keluarga dan menjadi mak kedua untuk adik2 yang lain...aku dan mak adalah team yang baik dalam `pembangunan insan' keluarga kami...secebis kisah dan memori antara mak dan aku

Oleh itu keserasian yang ada antara kami menyebabkan dia tidak mahu tinggal dengan adik beradik yang lain...dia tetap mahukan aku...tapi aku perlu kerja untuk menyara hidup keluarga dan dirinya. Ya Allah....jika aku berkemampuan ...tak perlu aku susah2 kerja...mahu saja aku duduk dirumah menjaga dia dan suami yang sudah bersara. Tapi aku terpaksa...aku adalah `the bread winner of the family' walau apa pun yang akan terjadi aku serahkan pada Allah yang Maha Mengetahui...semoga Allah melorongkan jalan yang mudah buat ku...Amin....