Sunday, July 3, 2011

Phd...yang bakal tinggal kenangan ( Tak sanggup lagi rasanya)

Cuti sem yang agak panjang semester ni membuatkan aku berazam untuk meneruskan tesis Phd yang tergendala. Namun kita merancang Allah yang menentukan segalanya. Sejak cuti semester bermula aku langsung tidak dapat mencuri masa menyambung tesis yang tergendala. Dengan tugasan yang agak berat di rumah dan beberapa projek dan seminar yang harus aku hadiri membuatkan aku menjadi serba salah. Rutin seharian tetap tidak berubah. Aku menguruskan emak dan sejak cuti sem ni aku lebih banyak menumpukan pada emak berbanding kerja di pejabat. Aku terlalu sayu melihat keadaan mak. Semakin hari dia semakin lemah dan tidak ada perubahan kearah yang lebih positif. Jika menjaga anak kecil perubahan positif adalah kesannya, namun menjaga orang tua adalah sebaliknya.

Emak ku semakin tidak boleh mendengar, kalau dulu boleh berjalan sedikit-sedikit, sekarang mengangkat punggung untuk memakai pampers juga sudah terlalu susah. Aku dan bibik terpaksa mengangkatnya setiap hari untuk bangun dari katil. Memapahnya ke bilik air untuk mandi. Kadangkala badan menjadi sakit-sakit. Namun aku redha...kerana selagi dia ada umur aku akan lakukan semuanya untuk dia. Puas berdoa agar mak sihat semula, namun Allah lebih mengetahui segalanya.

Bila melihat keadaan mak yang uzur aku jadi terlalu kasihan dan tidak sanggup meninggalkannya. Namun hidup ini mesti diteruskan. Aku buat yang terbaik untuk mak tapi adik2 ku pernah berkata, aku terlalu manjakan mak sehingga mak jadi sakit dan tak nak usaha lawan penyakitnya. Aku tak tau nak kata apa lagi.Ibarat kata pepatah, diluah mati mak ditelan mati bapak...sku sentiasa dalam serba salah. Ada juga yang menyalahkan aku kerana menjadi terlalu lembut, terlalu penyayang dan terlalu prihatin sehingga, orang disekeliling aku menjadi mengada-ngada. Aku dah tak kisah apa orang nak kata, sifat aku Allah yang berikan, sememangnya aku tak tergamak membuat orang apatah lagi ibu ku yang melahirkan aku dan menjaga aku dari kecil hingga aku dewasa. Aku akan ikut apa mak nak. Itu lah mak aku satu2nya...dan aku menjadi orang kanannya sejak aku kecil lagi. Aku tak tega buat macam orang lain. Tengking atau cakap kasar dengan mak, buat mak sakit hati.Biar aku mati dari menjadi tegas sebegitu.

Berbalik pada Phd aku ni, macam2 yang aku dapat pendapat mengenainya. Ada yang kata kalau ikut kepentinga Phd tu tak sepenting menjaga mak aku. Kata mereka menjaga seorang ibu lebih penting dari segala-galanya.( Kadang orang pandai cakap saja) Ye memang betul. aku akui semuanya itu, tapi Phd adalah pencapaian terakhir ku dalam bidang akademik. Aku teringin memiliki Phd sebelum aku bersara. Memang bukan mudah. Jika orang mendapat Phd pada usia 30 tahun, aku pula baru terkial-kial memulakan pengajian peringkat itu pada usia 50 tahun. Ada rakan yang pernah berkata, tak guna lagi nak teruskan Phd bila usia dah lebih 50 tahun, kerana tak perlu pun semua itu. Ada kebenarannya. Tapi bagi aku pula memulakan penyelidikan Phd pada usia ini memberikan aku satu perspektif yang luas tentang kehidupan dan mencari satu jawapan kepada kemusykilan dalam diri ku ini. Sebagai pensyarah, proses belajar dan mengajar adalah kehidupan aku. Proses mengajar dan belajar membuka minda dan memberikan aku lebih kefahaman tentang perjalanan hidup dan perjalanan menuju kematian. Aku tidak tahu samada Allah mengizinkan atau tidak keinginan ku ini. Namun aku akan terus berdoa, walaupun rasanya sudah terlalu nazak untuk aku meneruskan pengajian ini. Biarlah aku serahkan segalanya pada yang Maha mengetahui...kerana aku percaya jalan hidup ini telah ditentukan olehNYA...