Monday, August 1, 2011

Di Sebalik Tabir Penderitaan, Ada Sebuah Keindahan

By Hariyati Ariffin on Monday, August 1, 2011 at 5:40pm

Beberapa bulan yang lalu hidup ini rasa tidak terurus. Macam2 yang bermain difikiran. Keadaan Mak ketika itu semakin hari semakin teruk sakitnya. Aku menjadi buntu, dan cemburu pada masa dan keadaan yang membuatkan aku terpaksa melalui rutin harian yang sangat padat dan tertekan. Sebagai manusia biasa aku adakalanya kalah pada perasaan dan dugaan yang Allah berikan. Jiwa sentiasa cemas dan fikiran hanya tertumpu pada mak yang sakit. Aku abaikan banyak perkara dalam hidup, dari keluarga hingga diriku sendiri. Fikiran terus dilanda kebuntuan. Mujur lah ramai kawan2 yang pernah melalui nasib yang sama berkongsi pengalaman dan memberi tips yang dapat meringankan beban fikiran dan perasaan susah hati yang teramat sangat.



Aku jadi murung sebab takut berdepan dengan kenyataan. Semakin hari aku semakin tertekan sehingga puncak kepada tekanan yang terlampau membuatkan aku sakit kepala yang terlampau serta jatuh pengsan. Aku adalah manusia yang tidak dapat bertenang jika berhadapan dengan masalah diri, lebih2 lagi melihat penderitaan mak yang saban hari mengeluh kesakitan, menangis dan tidak ada daya bergerak serta terpaksa diuruskan segala keperluaannya diatas katil. Jika ditanya bagaimana perasaan aku ketika itu, sememangnya aku katakan hancur luluh segalanya. Terasa bagai mahu mengambil alih tempat mak supaya boleh aku gantikan dia menanggung sakit dan segala penderitaannya ketika itu. Oleh kerana terlalu memikirkan mengenai mak sebulan lalu aku mengalami perasaan yang amat sukar untuk aku jelaskan.Aku lupa kalimat sabar, aku lupa aku perlu banyak berdoa dan aku lupa bahawa ini semua adalah dugaan Allah untuk menjadikan aku lebih baik dari sebelumnya. Kemanisan terhadap penderitaan ini tidak aku ketahui. Aku hanya memikirkan kesulitan tanpa mengetahui bahawasanya disebalik ini semua akan terselitnya satu kemanisan yang tidak pernah aku ketahui kerana terpilih melalui ini semua.



Bagaimanapun Allah Maha mendengar rintihan hambanya, Maha menyayangi dan Maha mengerti penderitaan hambanya. Emak diberikan sakit yang bukan sahaja menduga aku tetapi mempunyai hikmah yang tiada ternilainya dalam hidup. Pengalaman menjaga mak membuatkan aku menjadi insaf. Setiap malam menjaga mak dan berzikir serta berdoa agar Allah meminjamkan kembali kudrat dan semangatnya kepada Mak....membuatkan aku percaya bahawa setiap dugaan dan masalah yang diberikan Allah ada jalannya dan pasti kunci nya terletak pada kesabaran dan ketabahan kita sebagai insan yang kerdil. Disamping itu, segalanya ini membuatkan kita bersyukur dan memuhasabah diri.



Semuanya ini sebenarnya membuka mata ku terhadap erti kehidupan yang sebenarnya disamping mengenal hati budi manusia dan mereka yang tertentu. Tidak semua yang sanggup bersama kita disaat sukar begini. Berhadapan dengan karenah manusia kadangkala lebih memeningkan dan menyedihkan. Aku melihat kuasa Allah mengatasi segalanya dalam hidup. Meskipun dugaan ini tidak lama tetapi aku semakin mendapat jawapan terhadap persoalan yang sering bermain difikiran ku. Kini Ramadhan tiba lagi, dengan kuasa Allah yang Maha mengetahui segalanya, di angkatNya sedikit demi sedikit penderitaan yang pernah membelenggu hidup ku. Allah meringankan rasa resah ku dan memberi jalan terhadap permasalahan ku. Alhamdulillah...banyak pertolongan yang datang, laluan menjadi semakin mudah , keadaan Mak juga tidak seteruk dulu, walaupun doktor pernah memberi amaran yang membuatkan aku terus cemas dan memikirkan sesuatu yang buruk akan menimpa, namun aku percaya ajal dan maut tetap ditangan Allah....Kuasa Allah mengatasi segalanya.Kita hanya merancang Allah menentukan segalanya.



Semoga di bulan yang mulia ini Allah menggandakan ketabahan dan kesabaran aku dan semoga Mak terus dilimpahkan Allah dengan kesabaran atas dugaanNYA ini. Pada hari ini aku rasakan dunia kembali ceria dan life is catching up ...semoga dengan kasih sayang dan doa semua anak2 Mak...beliau dapat bersama2 berhariraya dengan kami pada tahun ini. Terima kasih adik-adik kerana memahami akak.....kepada yang telah bekorban masa dan tenaga serta wang ringgit, akak ucapkan terima kasih. Itulah satu2nya Mak kita. Selain itu ingatlah bahawa kehidupan ini adalah satu putaran, kita tidak semestinya sentiasa berada diatas dan kita tidak sentiasa muda. Suatu hari kita semua pasti tua dan nasib kita semua belum pasti. Semoga kita mengambil iktibar terhadap setiap dugaan yang Allah berikan kepada kita. Selamat berpuasa kepada semua rakan2 Fb dan saya meminta maaf diatas segala ketelanjuran kata dan bicara serta kekasaran perlakuan yang menyinggung perasaan anda. Semoga kita semua di berkati Allah dibulan yang penuh barakah ini. Amin...