Friday, May 31, 2013

Nasihat Kepada Anak-anak mengenai Sabar dan Kejayaan Hidup

Waktu santai dan hari-hari cuti saya selalu bercerita dengan anak-anak mengenai pengalaman hidup dan kisah masa silam saya yang boleh dijadikan penduan oleh mereka. Selalu saya bagitau mereka untuk menjadi orang yang berjaya bukannya mudah. Pelbagai ujian dan dugaan mesti kita tempuhi dengan sabar dan yakin Apa yang kita lalui itu umpama saham yang akan memberi ganjaran yang baik pada masa depan. Bila anak2 cerita mengenai orang2 yang sangat negatif pernah mereka jumpa, orang2 yang suka menghina dan menjatuhkan maruah orang lain, saya katakan pada anak2 agar terus bersabar dan doa pada Allah kita diberi kekuatan berhadapan dengan orang2 macam tu. Allah nak duga kita dengan manusia seperti itu.



Anak-anak selalu bercerita mengenai kisah ditempat kerja yang membuatkan mereka rasa berat untuk pergi ketempat kerja mahupun ke kuliah. Tekanan yang mereka alami kadangkala dapat saya rasakan. Sebagai Ibu saya hanya mampu menasihkan mereka agar lebih tabah dan tingkatkan kesabaran untuk berhadapan dengan orang-orang seumpama itu. Bagi saya dimana-mana kita akan jumpa sepsis manusia seperti ini. Mereka juga punya keturunan dan turun temurunnya. Sikap mereka mungkin diwarisi dari ahli keluarga atau tekanan hidup yang sedang mereka alami. Saya nasihatkan anak-anak menganggap orang sebegini sebagai sakit, jangan terlalu dilayan perangai mereka. 



Jika kita boleh jauhkan diri, cuba jauhkan diri, jika tidak berhubung secara professional sahaja. Teringat masa saya muda2 dulu ada segelintir orang suka mengambil kesempatan terhadap kelembutan hati saya dan memperbodohkan saya didepan orang ramai. Adakalanya saya menangis sendirian memikirkan mereka sanggup memperkecilkan saya dan adakalnya saya rasa sangat malu dihadapan orang ramai. Mereka adalah orang-orang yang sangat tega hatinya. Suka melihat orang lain dalam kesukaran dan sangat berpuas hati jika dapat menjatuhkan maruah orang lain. Meskipun sangat malu terhadap apa yang saya pernah lalui namun tak terlintas untuk saya membalas dendam atau memberi pengajaran kepada insan berkenaan. 

Tapi Allah tu Maha kaya, orang yang menghina saya tu pernah datang meminta bantuan saya...dan saya bantu dia seadanya tanpa ada rasa sekelumit pun dendam mahupun sakit hati. Ye lah jika nak fakir apa yang dia pernah buat apda kita mungkin kita boleh membalas waktu itu. Namun seperti kata pepatah ikut hati mati ikut nafsu lesu…Bagi saya dia mungkin sudah dapat balasan dari Allah...karma Allah biasanya dibayar secara tunai…kesihanilah dia...mungkin dia sudah insaf. Siapalah kita untuk menghukum dia. Manusia ini semuanya sama disisi Allah....yang membezakan kita bukan pangkat atau kedudukan dan harta yang melimpah ruah, tetapi ketaqwaan kita pada Allah, kesabaran kita dalam menempuh segala ujianNYA , tahap kesyukuran kita atas apa yang dikurniakan Allah dan paling penting kita kenal siapa diri kita yang sebenarnya. Pengajaran yang boleh saya kongsi melalui pengalaman ini ialah, setiap manusia mempunyai karektor mereka tersendiri. 

Adakalanya manusia suka mengambil kesempatan atas kelemahan orang lain, seperti kata pepatah, yang lemah makanan yang kuat. Bagaimanapun bila difikirkan semula, menjadi sabar dan tabah ini besar hikmahnya. Adakalanya kita tidak perlu membalas perbuatan orang itu tetapi beliau mendapat pembalasan. daripada orang lain. Dunia satu putaran dan tiada yang lebih berkuasa dari Allah walaupun adakalanya hati kita disakiti kerana mereka memperlekehkan kita seolah-olah kita ni terlalu kecil dna tidak bermaruah. Kita sebenarnya diuji oleh Allah untuk melihat sejauhmana kita bersabar dan tabah dengan dugaan Allah. Apabila kita dapat melepasi rintangan dan ujian Allah kita akan dapat merasakan satu nikmat yang tidak terkira besarnya. Oleh itu, teruskan memuhasabah diri supaya kita tidak terus leka dan terlupa tanggungjawab kita yang sebenarnya sebelum kita kembali pada pencipta kita. Belajar bersabar kerana sabar itu separuh dari iman. 



Tamat

Dairi Mama bersama Arwah Mak

Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan. Begitulah rentetan kehidupan aku bersama Mak yang akan terus hidup dalam memori ku sehingga aku sendiri menghembuskan nafas yang terakhir. Tahun ini 2013 sudah hampir dua tahun Mak pergi meninggalkan aku. Mengimbau kisah lalu, sebagai anak sulung perempuan dalam 10 orang adik beradik, aku adalah orang kanan Mak yang sentiasa bersama mak sejak kecil sehingga dia menghembuskan nafasnya dalam pelukan aku pada tahun 2011 yang lalu.

 Keserasian kami tidak dapat aku nafikan. kami berkongsi banyak perkara dalam hidup. Aku lalui suka duka kehidupan bersama Mak. Namun dalam mengharungi kehidupan... aku dan mak tidak pernah sunyi dari berselisih faham dan merajuk. Namun aku dan mak tetap bersama dan kami amat saling memerlukan.Mak juga membesarkan anak2 ku dengan penuh kasih sayang sewaktu aku mengejar karier ku. Mak juga insan yang sering menasihati ku tentang kehidupan rumahtangga dan merestui kehidupan ku sepanjang dia hidup Mak bukan sahaja berada disisi ku, saat aku memerlukan dia, namun turut sama-sama berduka atas kekecewaana aku dan bergembira atas kejayaan aku. Disaat akhir Mak dia pernah memberitahu adik-adik bahawa aku adalah semangatnya untuk terus bertahan disaat akhir. Dalam keuzuran mak dia amat memerlukan aku disisinya dan dia dapat merasakan semangat untuk meneruskan kehidupan ini amat kuat jika aku berada disamping dia.

 Enam bulan sebelum dia menghembuskan nafas terakhir, keadaan Mak makin uzur, dua kali keluar masuk hospital. kali terakhir awal Julai 2011. Sekembalinya dari hospital tiga minggu selepas itu, mak nampak ceria dan sentiasa bercerita mengenai pelbagai perkara. Namun keadaan fizikal dia memang lemah. Dia dah tak dapat bangun lagi, makan bersuap, buang air dalam pampers, mandi, makan semua dilakukan atas katil. Namun aku masih boleh lihat semangatnya yang kental. Matanya sentiasa sayu melihat aku. Renungan Mak menusuk kalbu setiap kali dia memandang wajahku. Dua hari sebelum dia pergi, adalah saat paling meruntun perasaan ku. Dia asyik menangis dan memanggil nama ku dari pagi sampai malam. Masih tergiang-giang panggilannya, Ati...Ati...Ati...mana kau...mak nak kau ada kat sini....peluk lah Mak... Ati...peluk lah Mak...ah...menitis air mata ini bila terkenang semuanya. Tanpa memikirkan yang dia akan pergi meninggalkan aku buat selama-lamanya, aku memberitahu mak bahawa aku tidak dapat duduk disisi dia 24 jam kerana aku terpaksa memasak dan melihat keperluan yang lain.

Disaat aku meninggalkan dia untuk membuat kerja lain, dia akn terus menangis bagaikan anak2 kecil. Aku terpaksa .....bila mengenangkan itu semua aku jadi kesal....teramat kesal kerana aku tidak menurut kata mak. Mengapalah aku tidak terus duduk disisi dia....mengapalah aku begitu dan begini. Kekesalan demi kekesalan menerjah benak fikiran ku...Allah sahaja tahu perasaan aku di ketika itu.. Di saat arwah Mak nak pergi menyahut panggilan Ilahi, malam tu aku sempat tidur memeluk Mak. Dia tenang sahaja dan aku genggam tangan mak erat2 sambil aku usap rambut mak dan membaca Asma Ul Husna untuk Mak.Tiba2 dia batuk dan meminta air...aku bingkas bangun dan mengambil air. Aku peluk mak dan Ketika nak memberi air kemulutnya aku lihat mak seolah2 sesak nafas dan dalam tiga tarikan nafas sahaja Mak sudah tiada lagi dan dia pergi dalam pelukan aku.

Melihat keadaan itu, aku bacakan Al Fatihah dan aku letak kepala Mak eluk2 di bantal. Dengan tenang aku telefon adik beradik yang lain untuk datang. Mak pergi dengan tenang di pagi 11 ramadhan bersamaan 11 Ogos 2011. Aku redha pemergiaan Mak dibulan yang mulia ini. Aku doakan Mak sentiasa tenang dan ditempatkan bersama mereka yang beriman. Bukan lah mudah untuk melalui semua ini. Sekarang baru aku tahu perasaan mereka yang kehilangan orang tersayang. Meskipun aku pernah merasakan kehilangan arwah adik bongsu dan arwah Bapak ku lebih 20 tahun lalu, namun pemergian Mak amat terkesan dalam hidup ku. Mak lah inspirasi ku dan semangat ku. Terlalu banyak kenangan bersama Mak. Semoga aku akan terus tabah tanpa Mak disisi ku. Amin dan Al Fatihah untuk Mak yang tercinta.....

Tamat

Mengimbau Zaman Silam Dari Atas Kerusi Roda

Dipagi yang hening dan tenang ini, saya terkenang zaman muda, ketika Allah mengurniakan tenaga yang kuat untuk berlari kesana kesini mencari rezeki dan menjaga keluarga. Pagi ini, saya merenung dan menghitung nikmat yang tidak terkira Allah pernah kurniakan pada saya ketika muda dan saat ini, DIA menduga saya dengan sedikit rasa sakit, dibahagian kaki sehingga memaksa saya duduk diatas kerusi roda buat sementara waktu. Sakit sebenarnya juga satu nikmat dari Allah.

Dengan sakit kita dapat merehatkan diri dan melihat bagaimana keprihatinan orang2 sekeliling kita melayan dan membantu kita dalam keadaan kurang upaya. Sambil duduk diatas kerusi roda ini, saya terbayang saat Allah meminjamkan kekuatan dan tenagaNYA untuk saya menjalani kehidupan dengan amat sempurna dan mudah sekali. Dulu ramai yang kata saya ibarat superwoman kerana boleh bekerja, pada masa yang sama mengendalikan rumahtangga, anak2, dan masih boleh menyambung pelajaran diperingkat masters. Apa pun jika difikirkan semula, kekuatan dan semangat itu bukan datangnya dari diri saya semata2 tetapi ianya kuasa Allah yang telah membantu saya melaksanakan segalanya dengan baik dan mempermudahkan segalanya buat saya.

Saya sudah biasa menguruskan rumahtangga, bekerja dan menjaga anak2 seorang diri, disebabkan suami sentiasa sibuk dipejabat ketika beliau muda dulu. Saya menguruskan makan minum anak2 memantau persekolahan dan pelajaran serta kebajikan dan emosi mereka. Setiap hari suami akan kepejabat seawal jam 6.30 pagi untuk mencari rezeki untuk keluarga, dan pulang biasanya jam 9 atau 10 malam . Hari sabtu dan Ahad juga adakalanya suami tiada masa untuk kami sekeluarga kerana dia sering pulang kekampung keluarganya melihat ibubapa dan adik beradiknya. Suami saya anak sulung daripada keluarga yang susah. Dia juga seorang anak yang amat taat kepada ibubapa dan keluarganya dikampung. Dia pastikan kebajikan keluarganya dikampung terjaga dengan baik.

Disamping itu, adakalanya suami akan pergi vacation bersama rakan2nya kerana ketika anak kecil2 agak susah nak bawa mereka. Oleh itu saya berkorban menjaga anak2 dirumah dan jarang berjalan2 kerana kami juga ada masalah kewangan. Disebabkan itu, anak2 menjadi rapat dengan saya dan mereka agak kurang mesra dengan bapa mereka. Antara ramai anak2 saya, Kak Long paling dingin dan tak rapat dengan bapanya. Mungkin kerana bapanya jarang ada masa bersama beliau masa kecil dulu. Dia tak pernah bercakap dengan bapanya kecuali ada hal2 penting. Seingat saya dari kecil sampai dia dewasa dia jarang mahu duduk bersama bapanya untuk bersembang mahupun bercerita. Dia lebih suka duduk dalam bilik jika bapanya ada dirumah. Waktu makan juga dia jarang mahu bersama bapanya dimeja makan.

 Jika bapanya sudah habis makan baru dia duduk makan dimeja. Dalam empat anak2 saya, kak long dan anak kedua paling tidak rapat dengan bapa mereka sehingga hari ini. Anak ketiga dan keempat sememangnya agak manja dengan bapa mereka. Sehingga hari ini saya tidak pernah putus asa merapatkan silaturahim antara anak2 dan bapa mereka. Saya menjadi jambatan merapatkan mereka. Saya cuba pelbagai usaha merapatkan anak2 dan bapanya. Walaupun kak Long tak rapat dengan ayahnya , tapi kak long cukup mesra dengan saya dan sewaktu bersekolah dulu dia adalah orang kanan yang membantu saya dalam banyak hal menguruskan rumahtangga dan kebajikan adik2nya. Pada usia 18 tahun kak Long dah boleh bawa kereta, dia sudah boleh menghantar dan mengambil adik2nya dari sekolah. Beliau juga menjadi tempat saya meluahkan perasaan dan rasa sedih jika sesuatu berlaku.

Kak Long sangat prihatin dan memang banyak membantu saya waktu itu. Malah ketika saya diserang sakit jantung tujuh tahun yang lalu, kak long lah orangnya yang membawa saya ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Ketika itu dia memandu seorang diri membawa saya kehospital dan menguruskan kemasukan saya ke wad kecemasan. Mengimbau zaman kegemilangan kak Long menjadi orang kanan saya dalam hidup amat menggembirakan sekali. Kini dia sedang bangkit semula menjadi dirinya yang sebenar dalam usia 31 tahun. Perkembangan dirinya amat memberangsangkan dan saya yakin dia akan menjadi lebih baik dari dulu. Memang tiada yang mustahil dalam hidup ini. Sambil duduk diatas kerusi roda ini, banyak peristiwa yang saya kenangkan dan banyak perkara yang saya fikirkan serta membuat saya terus muhasabah diri. Kenangan bersama arwah mak yang sentiasa menjadi penasihat dalam hidup saya, adalah juga sebahagian dari rentetan kehidupan yang terindah dalam hidup ini. Perjalanan hidup saya punya seribu satu cerita yang penuh dengan pengajaran dan hikmahnya.Semua yang terjadi punya sebab tersendiri.

Allah telah mengaturnya dengan baik dan menjadikan siapa saya pada hari ini. Apa yang saya pelajari tentang hidup ini ialah, jangan mudah menyalahkan orang lain dalam hidup. Selagi berdaya lakukan segalanya dengan ikhlas. Nikmat Allah terlalu luas buat kita, bersyukurlah…..dan akhir sekali jangan bersedih jika Allah memberi musibah dan penyakit, kerana semuanya itu mempunyai rahsia kehidupan yang tersendiri untuk kita cari jawapannya dan meneroka alam yang penuh keajaiban dan hebat ini. Semoga saya sentiasa bertaqwa dan bersabar dengan apa juga dugaan yang Allah beri pada saya. Sesungguhnya jika direnung dan dikaji tentang kehidupan ini, ianya sesuatu yang amat menakjubkan dan semuanya itu menunjukkan kebesaran Allah. Ya Allah MAHA Besar...Maha Mengetahui.... ( Catatan di pagi Januari 2013)


Tamat.