Friday, May 31, 2013

Mengimbau Zaman Silam Dari Atas Kerusi Roda

Dipagi yang hening dan tenang ini, saya terkenang zaman muda, ketika Allah mengurniakan tenaga yang kuat untuk berlari kesana kesini mencari rezeki dan menjaga keluarga. Pagi ini, saya merenung dan menghitung nikmat yang tidak terkira Allah pernah kurniakan pada saya ketika muda dan saat ini, DIA menduga saya dengan sedikit rasa sakit, dibahagian kaki sehingga memaksa saya duduk diatas kerusi roda buat sementara waktu. Sakit sebenarnya juga satu nikmat dari Allah.

Dengan sakit kita dapat merehatkan diri dan melihat bagaimana keprihatinan orang2 sekeliling kita melayan dan membantu kita dalam keadaan kurang upaya. Sambil duduk diatas kerusi roda ini, saya terbayang saat Allah meminjamkan kekuatan dan tenagaNYA untuk saya menjalani kehidupan dengan amat sempurna dan mudah sekali. Dulu ramai yang kata saya ibarat superwoman kerana boleh bekerja, pada masa yang sama mengendalikan rumahtangga, anak2, dan masih boleh menyambung pelajaran diperingkat masters. Apa pun jika difikirkan semula, kekuatan dan semangat itu bukan datangnya dari diri saya semata2 tetapi ianya kuasa Allah yang telah membantu saya melaksanakan segalanya dengan baik dan mempermudahkan segalanya buat saya.

Saya sudah biasa menguruskan rumahtangga, bekerja dan menjaga anak2 seorang diri, disebabkan suami sentiasa sibuk dipejabat ketika beliau muda dulu. Saya menguruskan makan minum anak2 memantau persekolahan dan pelajaran serta kebajikan dan emosi mereka. Setiap hari suami akan kepejabat seawal jam 6.30 pagi untuk mencari rezeki untuk keluarga, dan pulang biasanya jam 9 atau 10 malam . Hari sabtu dan Ahad juga adakalanya suami tiada masa untuk kami sekeluarga kerana dia sering pulang kekampung keluarganya melihat ibubapa dan adik beradiknya. Suami saya anak sulung daripada keluarga yang susah. Dia juga seorang anak yang amat taat kepada ibubapa dan keluarganya dikampung. Dia pastikan kebajikan keluarganya dikampung terjaga dengan baik.

Disamping itu, adakalanya suami akan pergi vacation bersama rakan2nya kerana ketika anak kecil2 agak susah nak bawa mereka. Oleh itu saya berkorban menjaga anak2 dirumah dan jarang berjalan2 kerana kami juga ada masalah kewangan. Disebabkan itu, anak2 menjadi rapat dengan saya dan mereka agak kurang mesra dengan bapa mereka. Antara ramai anak2 saya, Kak Long paling dingin dan tak rapat dengan bapanya. Mungkin kerana bapanya jarang ada masa bersama beliau masa kecil dulu. Dia tak pernah bercakap dengan bapanya kecuali ada hal2 penting. Seingat saya dari kecil sampai dia dewasa dia jarang mahu duduk bersama bapanya untuk bersembang mahupun bercerita. Dia lebih suka duduk dalam bilik jika bapanya ada dirumah. Waktu makan juga dia jarang mahu bersama bapanya dimeja makan.

 Jika bapanya sudah habis makan baru dia duduk makan dimeja. Dalam empat anak2 saya, kak long dan anak kedua paling tidak rapat dengan bapa mereka sehingga hari ini. Anak ketiga dan keempat sememangnya agak manja dengan bapa mereka. Sehingga hari ini saya tidak pernah putus asa merapatkan silaturahim antara anak2 dan bapa mereka. Saya menjadi jambatan merapatkan mereka. Saya cuba pelbagai usaha merapatkan anak2 dan bapanya. Walaupun kak Long tak rapat dengan ayahnya , tapi kak long cukup mesra dengan saya dan sewaktu bersekolah dulu dia adalah orang kanan yang membantu saya dalam banyak hal menguruskan rumahtangga dan kebajikan adik2nya. Pada usia 18 tahun kak Long dah boleh bawa kereta, dia sudah boleh menghantar dan mengambil adik2nya dari sekolah. Beliau juga menjadi tempat saya meluahkan perasaan dan rasa sedih jika sesuatu berlaku.

Kak Long sangat prihatin dan memang banyak membantu saya waktu itu. Malah ketika saya diserang sakit jantung tujuh tahun yang lalu, kak long lah orangnya yang membawa saya ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Ketika itu dia memandu seorang diri membawa saya kehospital dan menguruskan kemasukan saya ke wad kecemasan. Mengimbau zaman kegemilangan kak Long menjadi orang kanan saya dalam hidup amat menggembirakan sekali. Kini dia sedang bangkit semula menjadi dirinya yang sebenar dalam usia 31 tahun. Perkembangan dirinya amat memberangsangkan dan saya yakin dia akan menjadi lebih baik dari dulu. Memang tiada yang mustahil dalam hidup ini. Sambil duduk diatas kerusi roda ini, banyak peristiwa yang saya kenangkan dan banyak perkara yang saya fikirkan serta membuat saya terus muhasabah diri. Kenangan bersama arwah mak yang sentiasa menjadi penasihat dalam hidup saya, adalah juga sebahagian dari rentetan kehidupan yang terindah dalam hidup ini. Perjalanan hidup saya punya seribu satu cerita yang penuh dengan pengajaran dan hikmahnya.Semua yang terjadi punya sebab tersendiri.

Allah telah mengaturnya dengan baik dan menjadikan siapa saya pada hari ini. Apa yang saya pelajari tentang hidup ini ialah, jangan mudah menyalahkan orang lain dalam hidup. Selagi berdaya lakukan segalanya dengan ikhlas. Nikmat Allah terlalu luas buat kita, bersyukurlah…..dan akhir sekali jangan bersedih jika Allah memberi musibah dan penyakit, kerana semuanya itu mempunyai rahsia kehidupan yang tersendiri untuk kita cari jawapannya dan meneroka alam yang penuh keajaiban dan hebat ini. Semoga saya sentiasa bertaqwa dan bersabar dengan apa juga dugaan yang Allah beri pada saya. Sesungguhnya jika direnung dan dikaji tentang kehidupan ini, ianya sesuatu yang amat menakjubkan dan semuanya itu menunjukkan kebesaran Allah. Ya Allah MAHA Besar...Maha Mengetahui.... ( Catatan di pagi Januari 2013)


Tamat.

No comments: